MEREKA yang berpengaruh di media sosial sebenarnya mempunyai kehidupan yang sukar. Kebanyakan mereka perlu sentiasa memberikan kemas kini tentang diri atau aktiviti yang mereka lakukan kepada pengikut yang ramai. Tidak hairanlah pada masa-masa terdesak, hanya ada satu penyelesaian yang logik, iaitu mengambil hak orang lain. Itulah yang berlaku kepada Sadelle Yeung dari Hong Kong yang dilaporkan Apple Daily, cepat-cepat mengeluarkan 95 gambar dari posting di akaun media sosialnya. Antara gambar yang dipadam adalah gambar roti bakar avocado, dinding bata, langit biru dan bunga matahari. Kebanyakan kapsyennya yang ditulis sebagai keterangan inspirasi, adalah palsu. Model itu, yang mempunyai 91,000 pengikut di Instagram - sering membuat posting tentang percutian dan tahun lalu muncul dalam rancangan jalan-jalan mengenai Singapura - A Seek in Singapore. Tetapi rahsianya mula terbongkar apabila Yeung, pada bulan lepas membuat posting di Instagram bahawa dia pergi bercuti di Itali dan kemudian menyiarkan beberapa gambar dengan hashtag #travelwithsadelle, yang mana dia mendakwa gambar-gambar itu diambilnya sendiri. Malang nasibnya apabila pengguna Instagram menyedari bahawa itu bukan gambarnya. "Gila, setiap gambar di sini adalah gambar curi," menurut satu posting. "Keseluruhan akaun Instagram ini palsu," kata pengguna yang lain. Menurut laporan, salah satu daripada gambar yang menyebabkan Yeung 'kantoi' adalah posting dari Pantai Amalfi Itali pada 4 Jun. Walaupun Yeung mendakwa dia mengambil gambar itu dan posting di Insta Storynya menunjukkan bahawa dia berada di Itali baru-baru ini, carian Google mendapati gambar yang dimuat naik olehnya sebenarnya diambil dari laman web syarikat pelancongan Australia. Isu ini menyebabkan sebuah akaun dibuka semata-mata untuk membuat parodi yang dipanggil @copywithsadelle yang mana entri-entri yang telah dipadam diletakkan bersebelahan dengan posting asal. Bukan hanya gambar perjalanan, dia juga dikesan mencuri foto makanan, seperti ini roti bakar dengan telur rebus, mendakwa hidangan itu dimasaknya sendiri dengan hashtag #sadellecancook. Selepas menyedari 'aktiviti'nya dikesan, Yeung segera memadam semua posting berkenaan walaupun sudah terlambat! Tetapi dia sempat membalas komen seorang bekas pengikutnya yang kecewa apabila mendapat tahu bukan dia yang memasak telur itu. "Semua orang buat silap, dan tidak adil untuk satu kesalahan diperbesarkan," katanya kepada bekas pengikutnya dalam satu posting yang sempat dilihat dan dirakamkan oleh Apple Daily. "Saya menerima maklum balas semua orang baik dan buruk." -coconuts