SEORANG anggota paramedik di Devon, England dihukum penjara kerana mencuri dompet milik seorang wanita berusia 87 tahun yang mengalami kecederaan. Malah, dia menggunakan kad debit milik warga emas itu dan mengeluarkan wang tunai berjumlah £1,400 (RM7,456). Anna Mogford, 38, dipanggil untuk membantu mangsa yang mengalami kecederaan teruk akibat terjatuh di rumahnya. Bagaimanapun, Mogford menyelongkar beg tangan mangsa dan mencuri dompet semasa menguruskan untuk membawa pesakit berkenaan ke hospital menggunakan ambulan. Semasa mangsa dirawat di Hospital Royal Devon and Exeter Hospital di Devon, Mogford memandu ambulan ke Tesco dan menggunakan kad pesakit itu untuk mengeluarkan mata wang tunai berjumlah £500 (RM2,662). Kamera litar tertutup (CCTV) di ruang legar hospital merakamkan Mogford mengeluarkan sebanyak £400 (RM2,129) selepas waktu bertugas. Pegawai perubatan Ambulan South Western yang telah berkhidmat dengan NHS selama 17 tahun, membuat dua pengeluaran di Aldi di Cullompton sebelum menyembunyikan dompek mangsa di hospital. Mogford menafikan dia mencuri tetapi didapati bersalah oleh juri di Mahkamah Exeter Crown. Pada awalnya, dia menipu menggunakan kad bank sendiri untuk membuat pengeluaran di mesin ATM. - Mirror UK