SEORANG penumpang Ryanair mendedahkan dia mahu menulis 'nota terakhir' kerana menyangka akan mati apabila pesawat menjunam 20,000 kaki. Ketika kejadian, Elisha Reamonn menaiki penerbangan ke Croatia bersama teman lelakinya, Cuan Rynhart apabila pesawat itu hilang tekanan dalam kabin sebelum membuat pendaratan cemas di Frankfurt, Jerman. Irish Mirror melaporkan topeng oksigen dijatuhkan dari bahagian atas kabin apabila pesawat memulakan pendaratan cemas, menjunam selama tujuh minit. Menerusi status di Twitter, Elisha yang berasal dari Dublin, Ireland, berkata, dia beranggapan akan mati dan mahu ia berakhir dengan pantas. Katanya, terdapat bunyi berdengung dan tekanan pada penglihatannya serta bau hangit dalam kabin. Pada awalnya, Elisha mengangka pesawat itu terbakar. Katanya: "Saya meletakkan tangan saya di bahagian antara tempat duduk dan bersuara 'saya sayangkan awak' kepada Cuan. "Saya cuba untuk menulis satu mesej menerusi telefon saya, sekiranya ia menjadi nota terakhir buat keluarga saya. "Tapi saya tidak dapat melihat secara jelas. Mata saya berasa seperti hendak tercabut keluar. "Satu pengumuman secara automatik kedengaran sebanyak tiga kali menyebut 'menurun untuk kecemasan'. "Penumpang berkata selepas pesawat berada pada paras yang stabil, seorang kru mengumumkan bahawa sebarang bau hangit itu disebabkan pengeluaran oksigen," katanya. Tekanan disebabkan pendaratan itu mengakibatkan ramai penumpang mengalami pendarahan di telinga dan mulut. - Mirror UK