BUDAK lelaki berusia lima tahun di selatan China nyaris maut apabila hanya berpaut pada gril balkoni aras 19 rumah pangsa selepas terjatuh dari tingkat lebih tinggi. Budak itu dilihat dalam keadaan mencemaskan pada kira-kira pukul 6 pagi selepas penduduk di situ mendengar dia meminta tolong, lapor Dazhou Evening News. Kejadian berlaku di bandar Dazhou di wilayah Sichuan minggu lalu. Sepasukan polis dengan tujuh anggota tiba di lokasi dan bersama-sama jiran di rumah pangsa itu mereka bergegas ke aras 18 dan 19 bagi membantu menyelamatkan budak lelaki itu. Hanya selepas hampir 30 minit, usaha menyelamatkan budak itu berjaya. Menurut keluarganya, ketika budak itu terjaga dari tidur, tiada sesiapa di rumah dan apabila dia ke balkoni untuk melihat ke luar tiba-tiba dia terjatuh.-SMCP