suria

Ibu bapa dihalang pecah tingkap, bayi akhirnya mati dalam ambulans

SEORANG bayi mati lemas selepas terperangkap di dalam ambulans selama kira-kira dua jam.

Insiden berlaku ketika bayi lelaki berusia dua bulan itu membuat perjalanan dari Delhi, ke Raipur, di timur India, untuk pembedahan jantung.

Menurut media tempatan, ibu bapa bayi malang tersebut bergelut untuk masuk ke dalam ambulans itu yang diletakkan di luar hospital selepas pintunya rosak dan tidak dapat dibuka.

Bapa mangsa, Ambika Kumar mendakwa, ketika dia cuba menyelamatkan nyawa anaknya, kakitangan mengabaikan permintaannya untuk memecahkan tingkap van dengan alasan ia adalah harta kerajaan.

Bapa bayi berkenaan menggunakan khidmat Sanjeevani Express yang merupakan perkhidmatan ambulans percuma ke hospital sebaik tiba di Raipur.

Tetapi apabila kenderaan kecemasan yang membawa bayi itu tiba di Hospital Memorial Ambedkar di bandar itu, pintu-pintunya tidak berfungsi, lapor media tempatan.

Tidak jelas sama ada terdapat orang lain dalam ambulans itu ketika kejadian.

Ibu bapanya dilaporkan bergelut berjam-jam untuk cuba menyelamatkan anak mereka dan juga meminta bantuan mekanik.

Dalam usaha terdesak untuk menyelamatkan anaknya, Ambika mencadangkan pekerja kecemasan memecahkan tingkap kenderaan itu tetapi diberi amaran tentang merosakkan harta kerajaan.

"Saya mendesak mereka untuk memecahkan pintu atau tingkap kerana anak saya mengalami masalah jantung tetapi usaha saya sia-sia," lapor Hindustan Times.

Jurucakap Institut Pengurusan dan Penyelidikan Kecemasan, yang menjalankan perkhidmatan ambulans di Chattisgarh, menafikan dakwaan tersebut.

"Bayi sudah mati sebelum sampai ke hospital.

"Apabila ambulans tiba di hospital Ambedkar, pintunya tersekat beberapa minit. Juruteknik kemudian mengeluarkan bayi dari kenderaan melalui tingkap."

Seorang pegawai polis berkata ibu bapa bayi itu tidak mengemukakan sebarang aduan terhadap perkhidmatan ambulans, lapor Daily Pioneer.

Pegawai itu berkata: "Keadaan bayi sudah kritikal dan percaya bahawa kematian itu sebagai takdir, mereka tidak menghubungi polis untuk membuat aduan."

bayi, ambulans

Artikel Lain