SERAMAI 18 lelaki hadir di mahkamah atas tuduhan merogol gadis 12 tahun berulang kali, selama tujuh bulan. Menurut laporan, kumpulan lelaki itu yang muncul di mahkamah di selatan Chennai, India terdiri daripada pekerja di blok apartmen di mana gadis itu tinggal. Ada yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, operator lif dan tukang paip. Polis berkata suspek berusia antara 23 hingga 66 tahun. Mereka didakwa sering menunggu gadis itu pulang dari sekolah sebelum membawanya ke kawasan terpencil, termasuk gim dan ruang bawah tanah, untuk merogolnya. Kekecohan tercetus di luar mahkamah Chennai ketika lelaki-lelaki itu dibawa untuk pendengaran pertama kali. Suspek telah dipukul oleh sekumpulan peguam yang menyerang mereka di tangga setelah pendengaran awal. Persatuan peguam tempatan memberitahu media bahawa mereka enggan membenarkan ahli-ahlinya mewakili mana-mana tertuduh itu di mahkamah. Polis berkata suspek kadang-kadang mengikat tali pinggang di leher gadis itu, menutup matanya sebelum merogolnya. Media setempat berkata, gadis itu adakalanya disuntik atau diberi minuman ringan dimasukkan dadah sebelum diperkosa. Mahkamah mendengar bahawa gadis itu juga diancam dengan pisau dan diugut untuk menyebarkan video dirinya dirogol jika dia mengadu. Sehari sebelum itu, dilaporkan seorang budak perempuan berusia 6 tahun diperkosa di luar kuil di New Delhi dan dibiarkan mati di tepi jalan. Dia tinggal bersama bapanya, seorang penarik beca dan ibu tirinya di tepi jalan berhampiran kuil. Dia diculik dan diperkosa, sebelum ditemui berlumuran berdarah di tepi jalan. Dia dibawa ke hospital untuk pembedahan kerosakan pada organ dalamannya. Ketua Suruhanjaya Delhi untuk Wanita merayu kepada Perdana Menteri Narendra Modi untuk memastikan hukuman mati dikenakan kepada sesiapa yang didapati bersalah atas kesalahan merogol kanak-kanak. Lebih daripada 100 kes rogol dilaporkan di India setiap hari, menurut data baru-baru ini dari Biro Rekod Jenayah Kebangsaan. -ABC News