TOKYO: Kakitangan yang bekerja di pejabat di Jepun mungkin tidak dapat tidur ketika bekerja, selepas satu sistem baharu dicipta bagi mengesan pekerja mengantuk. Menerusi sistem berkenaan, suhu di pejabat akan diturunkan secara automatik supaya pekerja terus dalam keadaan sedar. Pengilang penyaman udara Daikin dan syarikat elektronik gergasi NEC berkata, mereka sudah mula menguji sistem terbabit yang memantau kelopak mata pekerja dengan kamera pada komputer. Komputer itu akan menurunkan suhu bilik secara automatik, jika ia mengesan pekerja tidur di meja mereka. "Kami berharap untuk memperkenalkan sistem ini secara komersil pada 2020," kata jurucakap Daikin sambil menambah satu ujian sudah bermula bulan ini. Sistem itu menggunakan teknologi Daikin untuk mengubah suhu secara automatik dan teknologi pengecaman muka NEC untuk memantau pelbagai pergerakan kelopak mata yang mencadangkan jika seseorang mengantuk. "Kajian kami membuktikan kaedah menurunkan suhu amat berkesan terutamanya ketika tanda awal mengantuk dikesan," menurut kenyataan bersama kedua-dua syarikat itu. - AFP