SEBUAH motel dikecam hebat selepas membantu seorang lelaki curang menyembunyikan diri daripada isterinya yang sedang menunggunya di luar bangunan. Motel Palmeiras yang terletak di Bucaramanga, Colombia itu kemudian menggunakan kisah tersebut di media sosial untuk tujuan promosi. Bagaimanapun, ia menerima banyak kritikan kerana dikatakan menggalakkan zina dengan cara membantu pelanggan yang bermalam di situ bersembunyi bersama perempuan simpanannya sedangkan isterinya terpaksa menunggu di luar. Tidak cukup dengan tindakan itu, motel ini kemudian menunjukkan video promosi yang memperincikan bagaimana mereka berpakat dengan suami curang itu tentang cara terbaik untuk membantunya keluar dari masalah tersebut. Pada pagi 14 Julai, kakitangan di Motel Palmeiras mula menerima laporan tentang seorang wanita yang bersembunyi di celah-celah pokok di luar bangunan mereka, seolah-olah sedang menunggu seseorang keluar. Kira-kira sejam setengah kemudian, mereka menerima panggilan telefon daripada seorang pelanggan yang bermalam di situ dengan perempuan simpanannya dan telah diberitahu bahawa isterinya sedang menunggu di luar untuk berdepan dengannya. Lelaki itu meminta bantuan untuk mengelak daripada bertemu isterinya dan kakitangan motel dengan rasa senang hati bersedia untuk bersubahat. Selepas menilai keadaan, pekerja motel memberikan tiga alternatif untuk pelanggannya itu. Pilihan pertama adalah dengan membantu lelaki itu menyamar sebagai pekerja motel dan cuba lalu di depan isterinya yang mana risiko untuk 'kantoi' adalah tinggi. Kedua, cuba untuk mendapatkan sebuah teksi untuknya tanpa isterinya yang dapat menyedarinya (risiko gagal sederhana) Ketiga, membantu lelaki itu bersembunyi di dalam kemudahan motel sehingga isterinya pergi (risiko gagal rendah). Setelah berbincang dengan kakitangan motel, mereka semua bersetuju bahawa pilihan ketiga adalah yang paling selamat. Pada jam 1.57 tengah hari, iaitu selepas beberapa jam menunggu suaminya keluar dari motel, si isteri akhirnya meninggalkan premis itu. Tetapi kakitangan motel menasihatkan suaminya untuk bertahan lebih lama lagi, untuk memastikan dia benar-benar meninggalkan tempat itu. Pada pukul 5.05 petang, pekerja motel membuat tinjauan di kawasan sekitar motel dan setelah mengesahkan bahawa wanita itu benar-benar tiada, pelanggannya berjaya keluar pada pukul 5.15 petang. "Di Motel Palmeiras, pengakhirannya selalu menggembirakan," tulis motel itu pada akhir video promosi yang baru-baru ini dimuat naik di laman Facebooknya. Walau bagaimanapun, tindak balas orang ramai tidak seperti yang diharapkan motel itu. Kebanyakan netizen mengkritik kakitangannya kerana menggalakkan suami curang, memalukan isteri dan menggunakan keseluruhan cerita untuk mempromosikan perkhidmatannya di media sosial. "Mereka macam sampah, orang yang menjijikkan," kata seseorang yang mengulas video itu.