suria

Kiswah habuan rasuah bekas menteri dilelong

IA barang rampasan dalam operasi agensi memerangi rasuah Indonesia dan lebih menarik kelambu Kaabah atau Kiswah itu ditemui di kediaman bekas menteri hal ehwal agama, Suryadharma Ali.

Seperti kebiasaannya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (KPK) Indonesia dari semasa ke semasa akan mengadakan lelongan barang rampasan bagi mendapatkan pulangan susulan kerugian yang dialami kerajaan.

Baru-baru ini, Kiswah yang dihasilkan menggunakan benang emas adalah antara barangan yang dilelong dan ia antara yang mendapat bidaan harga tertinggi.

Bidaan bagi Kiswah itu bermula pada harga Rp 22.5 juta (RM6,000) dan meningkat begitu pantas apabila usahawan dari Malang, Muhammad Jufri Saad dapat memilikinya pada harga Rp 450 juta (RM30,000).

"Kami menghadiri acara lelongan ini kerana mahu menambah koleksi Kiswah yang sudah ada di kediaman kami. Syukur ia menjadi milik kami pada harga Rp 450 juta kerana jika di Makkah hargannya lebih tinggi," katanya kepada kompas.com.

Jufri yang pernah menghadiri tujuh acara lelongan anjuran KPK turut mengakui sememangnya mahu memiliki Kiswah berkenaan sejak minggu lalu.

"Saya tidak akan jual kepada sesiapa pun, sebaliknya akan memasang bingkai untuk menghiasi dinding rumah," katanya.

Pada 2016, Suryadharma telah dihukum kerana menyalahgunakan dana awam untuk urusan haji jemaah Indonesia melibatkan kerugian sebanyak Rp 13 bilion (RM2 bilion).

Sebelum itu,dalam prosiding pada 2015, pihak pendakwaan memberitahu Mahkamah Rasuah mengenai Suryadharma menerima sekeping kelambu Kaabah daripada ahli perniagaan Arab Saudi.

Ahli perniagaan itu, Cholid Abdul Latief Sodiq Saefudin telah menghadiahkannya kepada menteri berkenaan sebagai balasah kerana meluluskan permohonan menggunakan kediaman Cholid untuk menempatkan jemaah Indonesia.


Kiswah, Suryadharma

Artikel Lain