suria

Remaja 'posing' selepas baling telur, tepung kepada wanita OKU

-foto FB Robin Armstrong

EMPAT remaja ditahan selepas membaling telur dan tepung kepada seorang wanita kurang upaya dan kemudian bergambar di belakangnya.

Dalam gambar 'kejam' itu, kumpulan remaja lelaki berkenaan dilihat 'berposing' di belakang wanita itu yang sedang duduk di bangku taman dengan badannya diselaputi tepung.

Dia nampak seolah-olah terlalu takut untuk bergerak, apatah lagi melawan.

Serangan itu berlaku di Bury St Edmunds, Suffolk, England pada Jumaat, kira-kira jam 5.30 petang.

Polis berkata dua lelaki berusia 17 tahun dan dua lelaki berusia 15 tahun telah ditangkap berkaitan kejadian itu, tetapi telah dibebaskan dengan ikat jamin.

Identiti jurugambar, dan sama ada mereka turut terlibat dalam serangan itu belum diketahui, The Sun melaporkan.

Polis berkata mangsa, seorang wanita berumur 40-an, dibaling telur dan tepung selepas pertengkaran lisan dengan kumpulan remaja terbabit.

Menurut penduduk tempatan, remaja dalam gambar itu adalah sebahagian daripada ahli kumpulan yang lebih besar, yang telah mengganas di beberapa bahagian
bandar itu selama berminggu-minggu.

Wanita itu sangat tertekan tetapi tidak mengalami kecederaan fizikal, menurut polis.

Inspektor Anthony Bridgland berkata tingkah laku seperti ini sama sekali tidak boleh diterima dan pihaknya memandang kes ini sebagai serius.

"Kami tahu insiden ini mungkin menimbul kebimbangan dan kemarahan dalam komuniti setempat dan dalam talian, tetapi kami ingin menegaskan bahawa kami menangani perkara itu dengan tegas dan menyokong mangsa," katanya.

Seorang rakan mangsa, Katherine Brame menulis di Facebook selepas insiden itu.

"Saya perlu bersuara. Insiden hari ini telah membuatkan saya sedih dan kecewa. Wanita berkenaan memerlukan privasi dan menderita dengan penyakit yang tidak dapat dilihat.

"Dia tidak dapat menahan orang yang datang kepadanya. Ia rumit, tetapi jika anda ingin membantu, apa kata anda mendermakan kepada badan amal kesihatan mental kerana mereka yang mempunyai penyakit jenis ini tidak dapat disedari sepanjang masa dan mereka benar-benar tidak dibiayai," katanya.

Kejadian itu mendapat perhatian di media sosial selepas Robin Armstrong memuat naik gambar tersebut, bersama video dirinya yang mahu 'memimpin jalan' menjejaki pesalah.

Seorang penduduk di kawasan itu, Andrew Willsher, 46, berkata kumpulan remaja itu sering berkumpul dan berteduh di sekitar taman dan kedai.

"Hakikatnya mereka tak ada apa-apa nak buat jadi mereka menimbulkan masalah.

"Terdapat beberapa remaja lelaki yang sering berkumpul di taman di belakang ini dan orang ramai mengelakkan diri daripada mereka kerana mereka tahu ia akan membawa kepada masalah," katanya.

buli, wanita OKU, telur

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain