MOSCOW: Saintis berjaya menghidupkan semula cacing prasejarah yang beku dalam permafrost selama hampir 42,000 tahun. Cacing nematod (cacing bulat) itu adalah dua sampel yang ditemui di Siberia. Salah satu sampel itu berusia kira-kira 32,000 tahun dijumpai dalam teras glasier pada kedalaman 30 meter (m) di bawah permukaan deposit permafrost manakala sampel kedua berada pada kedalaman 3.5 m berusia 41,700 tahun. Saintis dari empat institusi di Rusia dengan kerjasama Universiti Princeton Amerika Syarikat menganalisis lebih 300 sampel deposit permafrost Artik dan menemui kedua-dua sampel nematod yang masih dalam keadaan baik. Ia kemudiannya diletakkan dalam piring petri pada suhu 20 darjah celsius yang mana ia mula menunjukkan tanda kembali hidup, bergerak dan makan selepas beberapa minggu. "Data kami menunjukkan keupayaan organisma multisel untuk bertahan dalam tempoh jangka panjang (puluhan ribu tahun) di bawah keadaan semula jadi," kata saintis terbabit. Difahamkan, mekanisme penyesuaian cacing tersebut mungkin boleh menjadi kepentingan saintifik dan praktikal termasuk untuk bidang astrobiologi iaitu kajian hidupan luar angkasa. Kajian tersebut diterbitkan dalam jurnal Doklady Biological Sciences pada Mei lalu dan kini boleh didapati secara atas talian. - Xinhua