suria

WhatsApp 'buat duit', kini minta bayaran daripada penggunanya

WHATSAPP akhirnya telah meminta pengguna membayar perkhidmatannya.

Tetapi jangan risau, anda masih boleh bersembang dengan rakan-rakan secara percuma kerana ia hanya melibatkan akaun perniagaan.

Syarikat-syarikat yang menggunakan WhatsApp Business perlu membayar untuk menghantar maklumat seperti tarikh penghantaran, pengesahan tempahan atau pas masuk melalui Whatsapp.

Bayaran yang dikenakan antara AS$0.5 (RM2.04) hingga AS$0.90 (RM3.67) bagi setiap mesej, sebagai pertukaran untuk jaminan bahawa ia telah diterima.

Pada Januari 2018, WhatsApp telah mengumumkan rancangan untuk mengkomersilkan perkhidmatan WhatsApp Business yang memiliki 3 juta pengguna aktif. Dan kini, rancangan itu sudah direalisasikan.

WhatsApp berkata sistem itu akan membolehkan pengguna biasa 'meminta maklumat yang berguna' dan mendapatkan bantuan daripada pengguna aplikasi perniagaan.

Ia juga akan membolehkan perniagaan-perniagaan memulakan perbualan dengan pelanggan atau menawarkan sokongan pada masa nyata.

Antara perbezaan WhatsApp Messenger dengan WhatsApp Business ialah dapat memasukkan nombor telefon rumah, boleh menetapkan waktu membalas pesanan, dapat melihat statistik keluar-masuk pesanan, memilih jenis bisnes dan perbezaan logo.

Dalam pada itu WhatsApp berjanji untuk memastikan ia tidak akan 'mengganggu' orang ramai dengan spam.

"Anda akan terus mempunyai kawalan penuh terhadap mesej yang anda terima," tulisnya.

"Perniagaan akan membuat bayaran untuk menghantar mesej tertentu, jadi mereka mereka selektif dan perbualan anda tidak berselerak.

"Di samping itu, mesej akan kekal sulit dan anda boleh menyekat mana-mana perniagaan dengan hanya satu butang."

Strategi itu menandakan satu langkah berani era baharu untuk Facebook, yang membeli Whatsapp pada harga AS$19 bilion pada tahun 2014 dan dilihat tidak membuat usaha serius untuk meminta bayaran sehingga kini.

Mark Zuckerberg mungkin memerlukan sokongan tunai kerana rangkaian sosialnya baru-baru ini mengalami kejatuhan saham terbesar dalam sejarah.

Ia juga mendedahkan rancangan untuk menjadikan Instagram lebih menguntungkan dengan memperkenalkan ciri baharu yang sangat menjengkelkan.

Selain itu aplikasi ini juga dilaporkan akan 'buat duit' melalui iklan pada 'Status' WhatsApp.

Memetik Tim NexTren dari AndroidPIT, iklan tersebut akan muncul mulai tahun 2019. -MetroUK

Artikel Lain