suria

Isteri sakit, suami pasang kamera rakam video wanita mandi

SEORANG lelaki mengaku bersalah merakamkan aksi 34 orang wanita di sebuah homestay dengan 'kamera botol syampu'.

Lelaki dari Hawke's Bay, pulau Utara, New Zealand itu yang tidak dinamakan untuk melindungi isterinya membuat 219 rakaman rahsia dari Disember 2017 hingga Februari 2018.

Dia juga mengaku menyiarkan video tersebut di laman pornografi, beberapa daripadanya mempunyai keterangan.

Kebanyakan mangsa berusia bawah 30 tahun dan kamera diletakkan di bilik mandi untuk merakam bahagian antara bahu dan lutut wanita.

Tidak dapat dipastikan sama ada botol syampu itu adalah peranti buatan sendiri atau dibeli dari dalam talian.

Wanita-wanita berkenaan yang tinggal di situ antara satu hingga dua minggu telah dikesan oleh pihak polis dan mereka dalam satu kenyataan menyatakan rasa terkejut, malu dan marah dengan tindakan lelaki terbabit.

Apabila lelaki itu ditangkap pada bulan Februari, dia memberitahu polis bahawa dia melakukannya untuk 'keseronokan dan risiko ditangkap' lapor akhbar Stuff.

Selepas membuat perancangan tentang bila mereka akan menggunakan kemudahan bilik mandi di homestay yang diuruskannya, lelaki itu akan mengaktifkan kamera melalui alat kawalan jauh, Mahkamah Daerah Hastings diberitahu.

Dia kemudian akan mengeluarkan botol syampu itu dan memuat turun video tersebut ke komputernya pada waktu malam.

Video itu kemudian disiarkan di laman porno, yang mana lelaki tersebut menggesa penonton untuk meninggalkan komen positif bagi menggalakkan dia membuat lebih banyak rakaman.

Polis New Zealand bagaimanapun telah menghapuskan video-video tersebut.

Peguam lelaki itu meminta mahkamah untuk melindungi identiti anak guamnya kerana isteri lelaki itu sedang sakit dan boleh memburukkan lagi keadaan jika identitinya dikenal pasti.

Pendakwa berkata: "Terdapat 34 mangsa yang gambar peribadinya paling intim telah tersebar di seluruh dunia."

Lelaki itu, yang mengaku bersalah terhadap 69 pertuduhan telah dibebaskan dengan jaminan dan akan dihukum pada Oktober.

Sesetengah tuduhan membawa hukuman maksimum 14 tahun penjara. -BBC

kamera rahsia

Artikel Lain