SEORANG bayi lelaki dilahirkan di tepi jalan selepas sebuah bas persiaran dinaiki keluarga mangsa terbalik di lebuh raya yang sibuk pada Isnin. Kejadian berlaku di persimpangan ketiga, M25 dekat Swanley di Kent, United Kingdom (UK), kira-kira pukul 4 petang waktu tempatan. Tujuh kanak-kanak antara 41 yang dilaporkan cedera dalam kemalangan ngeri itu. Dalam satu tweet, polis mengesahkan bayi ‘ajaib’ itu dilahirkan beberapa minit selepas kemalangan berlaku. “Tiada kecederaan serius dilaporkan. Amat berbangga melihat petugas kecemasan bekerja secara efektif bersama-sama. “Dan lebih menarik seorang bayi lelaki lahir di lokasi kejadian.” Seorang saksi, Mitchell Melvin berkata dia dan dua lagi rakannya menarik mangsa keluar dari bas tersebut. Melvin, 24, berkata semasa kejadian dia sedang memandu van apabila sebuah bas tiba-tiba terbabas sebelum terbalik di hadapannya. “Kami mendekati bas tersebut dan melihat ramai penumpang keluar melalui tingkap. “Saya ambil tukul dan memecah tingkap belakang bas. “Beberapa penumpang mengalami kecederaan dan dipenuhi darah,” katanya. Kemalangan itu menyebabkan kesesakan teruk selama 90 minit di laluan tersebut. Difahamkan bas persiaran itu merempuh pembahagi jalan sebelum terbalik. Bas persiaran itu dilaporkan membawa ramai penumpang yang sedang bercuti bersama keluarga mereka.