SEORANG ibu tergamak memukul anaknya sehingga mati dengan tukul ketika mangsa sedang tidur. Tatiana Degirmendzhy, 49, mengaku membunuh anak perempuannya, Yulia, 18, di rumah mereka dekat Chaykovsky, Rusia kerana mereka sudah tidak sehaluan. Suspek dilaporkan memukul kepala anak perempuan itu beberapa kali sebelum disahkan meninggal akibat pendarahan yang teruk. Tatiana kemudian melarikan diri dari rumahnya menuju ke stesen kereta api menuju ke pusat bandar. Yulia kemudiannya ditemui beberapa jam kemudian oleh abangnya Sertan, 22, apabila pulang ke rumah mereka. Dia menemui Yulia dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri di atas tilam dengan biliknya dipenuhi darah. Penukul yang digunakan untuk membunuh mangsa turut ditemui di atas lantai. Sertan kemudian segera menghubungi pasukan perubatan. Pasukan paramedik kemudian mengesahkan Yulia meninggal dunia akibat kehilangan banyak darah. Polis di lokasi kejadian mendapati pasport ibu mangsa dibawa bersama semasa melarikan diri. Tatiana akhirnya ditemui dalam tempoh 24 jam ketika cuba menaiki sebuah kereta api ke Izhevsy yang terletak kira-kira 36 batu dari Chaykovsky. Menurut polis, Tatiana mengakui membunuh anaknya dengan berkata:”Jika saya ada tujuh anak perempuan sepertinya, saya akan bunuh mereka juga.” Jurucakap polis berkata, mangsa dan ibunya sering bertengkar sejak tiga bulan lalu. “Suspek berkata dia melakukan pembunuhan itu kerana perasaan benci kepada anaknya.”