TIMBUL semangat 'setiakawan' secara tiba-tiba dalam kalangan penunggang motosikal di Jakarta demi mengelak dicekup polis. Sebuah video tular menunjukkan beberapa penunggang motosikal yang menunggang secara haram di lorong bas transJakarta ternampak polis sedang melakukan pemeriksaan di hadapan mereka dan tidak boleh berpatah balik. Untuk mengelakkan diri daripada ditahan dan disaman, para penunggang motosikal membantu antara satu sama lain mengangkat motosikal mereka ke lorong sebelah yang dipisahkan oleh tembok konkrit yang tinggi. Rancangan mereka berjalan lancar sehinggalah tiba giliran motosikal terakhir dialihkan. Selepas membantu rakan penunggang lain mengangkat motosikal masing-masing, dia ditinggalkan keseorangan dan percubaan untuk mengangkat motosikalnya melepasi tembok itu tanpa bantuan sesiapa gagal. Walaupun menunggang di lorong bas secara haram dan cuba mengelakkan diri daripada disaman adalah tindakan tidak baik, tetapi nasib penunggang terakhir dalam video itu lebih menjadi perhatian. Sejak video itu dimuat naik oleh pengguna Facebook, Takdare Andreas Benhard Nugroho, ia telah mendapat lebih dari 1.3 juta tontonan dan lebih 20,000 perkongsian. Takdare menulis keterangan pada video itu: "Hiburan di Jakarta pagi ini. Etika kerja mereka adalah teladan, tetapi perkara yang lucu pada akhirnya, bagaimana ia menjadi seperti politik semasa." Menurut Takdare, insiden itu berlaku Jalan Galunggung di Setiabudi, Jakarta Selatan pada pagi Jumaat. Penunggang motosikal yang ditangkap memandu di lorong busway boleh didenda 500,000 rupiah (RM140.07).