suria

Pekerja 'kenyang' dulu sebelum hantar menu dipesan pelanggan

APLIKASI penghantaran makanan terkemuka di China, Meituan memberhentikan pekerjanya kerana didapati menjamah menu yang dipesan pelanggan, sebelum menghantarnya.

Media tempatan melaporkan perbuatan pekerja lelaki di Sihui, wilayah Guangdong  yang identitinya tidak didedahkan itu terbongkar menerusi rakaman CCTV.

Visual yang disebarkan menerusi laman web Pear Video menunjukkan pekerja berkenaan sedang makan sebahagian makanan yang dipesan pelanggan, termasuk sup dalam kotak makanan tengah hari sebelum meletakkannya semula ketika berada dalam lif untuk menghantar pesanan itu.

Rakaman itu juga menunjukkan pekerja itu mengangkat bekas makanan plastik dan memakan hidangan itu sebelum meletakkannya semula.

Dia kemudiannya meminum sup dalam bekas lain dan meletakkannya semula ke kotak sama sebaik pintu lif dibuka.

Pegawai perhubungan awam Meituan yang dikenali sebagai Xu mengesahkan kejadian itu.

"Setakat ini pekerja terlibat telah dibuang kerja dan memaklumkan industri penghantaran makanan mengenainya supaya dia tidak diambil bekerja dalam bidang ini," katanya.

Susulan kejadian itu, kata Xu, pihak syarikat mengambil tanggungjawab dan telah membayar pampasan kepada pelanggan terbabit.

"Kami juga memohon maaf kepada pelanggan berkenaan.

"Usaha akan dilakukan untuk mempertingkatkan disiplin dan latihan pekerja bagi mengelak kejadian sama berulang," katanya.-SCMP

Meituan, Pear Video

Artikel Lain