suria

Polis tak sampai hati, sanggup menyusu bayi 'busuk dan kotor' diabai hospital

Gambar Ayala bersama bayi yang disusukannya telah mendapat lebih 128,000 'like' dan lebih 97,000 perkongsian di FB.

SEORANG pegawai polis yang sanggup menyusukan seorang bayi 'busuk dan kotor' yang diabaikan oleh kakitangan hospital, mendapat pujian ramai kerana sikap prihatin dan tidak mementingkan diri.

Celeste Ayala, dari Berisso, Argentina, sedang bertugas mengawasi hospital kanak-kanak Sister Maria Ludovica ketika bayi itu dibawa ke situ kerana mengalami masalah kekurangan zat.

Mendengar bayi tersebut menangis teresak-esak, tetapi kakitangan hospital dilihat terlalu sibuk dengan tugas masing-masing, Ayala bertanya kepada petugas hospital sama ada dia boleh memegang dan menyusukan bayi itu.

Apabila dia mula menyusu, bayi lelaki itu terus tenang.

Bercakap kepada media tempatan, Ayala berkata: "Saya sedar dia lapar, kerana dia meletakkan tangan ke dalam mulutnya, jadi saya minta kebenaran untuk memeluknya dan menyusukannya.

"Ia adalah saat yang menyedihkan, hati saya tersentuh melihatnya seperti ini, masyarakat harus peka terhadap isu-isu yang memberi kesan kepada kanak-kanak, ia tidak boleh dibiarkan terus berlaku."

-foto CEN

Menurut media tempatan, bayi itu mempunyai enam adik beradik yang mana ibunya, yang merupakan ibu tunggal perlu berjuang untuk menanggung anak-anaknya.

Rakan Ayala, Marcos Heredia, berkata kakitangan hospital memanggil bayi itu sebagai 'busuk dan kotor' tetapi Ayala tidak kisah tentang itu.

Heredia mengambil gambar Ayala sedang menyusukan bayi yang kelaparan itu dan berkongsi dalam talian.

"Saya ingin semua orang tahu tentang tindakan penuh kasih sayang yang kamu telah buat untuk seorang bayi yang kamu tidak kenal, tetapi kamu tidak teragak-agak untuk bertindak seperti seorang ibu.

"Kamu tidak peduli jika dia kotor atau busuk, yang mana itulah yang dipanggil kakitangan hospital kepadanya. Tindakan yang hebat, kawan."

Pasukan bomba tempatan, yang mana Ayala menjadi sukarelawan untuk pasukan itu pada waktu lapang memberi penghormatan kepadanya di Facebook: "Kami ingin mengucapkan tahniah kepada kadet pemadam api sukarelawan Celeste Ayala yang semalam, ketika bertugas sebagai pegawai polis mengawasi hospital, menyusukan bayi yang dibawa dalam keadaan menangis.

"Tindakan seperti ini adalah sesuatu yang perlu dibanggakan dan menunjukkan bahawa kita perlu menggandakan usaha, kerja dan perpaduan dengan masyarakat." -MetroUK

polis, bayi, menyusu

Artikel Lain