SEORANG wanita tersilap membuat andaian apabila menyangka kanta lekapnya jatuh ketika matanya terkena bulu tangkis. Wanita itu yang kini berusia 42 tahun baru-baru ini mendapati kanta lekap tersebut rupa-rupanya sepanjang masa berada di kelopak matanya. Kanta lekap sememangnya mudah dan selesa untuk orang yang rabun terutamanya jika seseorang itu lasak dan mempunyai gaya hidup yang aktif. Tetapi dalam beberapa keadaan, ia juga boleh menimbulkan keadaan tidak selesa termasuklah mata menjadi kering atau terkena jangkitan. Itulah yang berlaku kepada seorang wanita dari Dundee, Scotland, yang baru-baru ini berjumpa doktor untuk memeriksa kelopak mata kirinya yang bengkak dan berair sekitar enam bulan lalu. Dia kemudiannya dirujuk kepada pakar mata Sirjhun Patel, Lai-Ling Tan dan Helen Murgatroyd di Hospital Ninewells & Sekolah Perubatan yang menjalankan beberapa ujian terhadap kes ini yang pada mulanya dianggap sebagai kes biasa. Ujian MRI mengesahkan terdapat ketumbuhan berukuran 6 milimeter lebar, jadi pasukan doktor menjadualkan pembedahan untuk membuangnya. Walau bagaimanapun, ketika pembedahan dilakukan ketumbuhan itu pecah dan menunjukkan objek asing. Ia kelihatan sangat rapuh jadi doktor perlu berhati-hati mengeluarkannya. Selepas objek tersebut diteliti, doktor mengesahkan bahawa ia adalah kanta RGP (Rigid Gas Permeable). "Semasa pembedahan, satu ketumbuhan ditemui di antara tisu lembut superior dan superior fornix," tulis doktor dalam sebuah laporan yang diterbitkan dalam jurnal perubatan BMJ. "Tidak ada tanda-tanda untuk mencadangkan terdapat kecederaan pada kelopak mata atau tarsus sebelum itu. Ketika mahu mengeluarkannya, ketumbuhan pecah dan kanta lekap diekstrak. Bendasing itu sangat rapuh untuk dikeluarkan dan dikendalikan. Ia kemudian disahkan sebagai kanta lekapRGP." Tetapi timbul tanda tanya apabila wanita itu menegaskan bahawa seingatnya, dia tidak pernah memakai kanta lekap jenis itu dan tidak tahu bagaimana ia boleh berada di matanya. Walau bagaimanapun, ketika disoal ibu kepada wanita itu teringat bahawa anaknya gemar bermain badminton ketika remaja dan mata kirinya pernah terkena bulu tangkis, 28 tahun lalu. "Pesakit itu pernah terkena bulu tangkis di mata kirinya ketika bermain badminton pada usia 14 tahun. Pesakit memakai kanta RGP pada masa itu, yang tidak pernah dijumpai. Diandaikan kanta itu telah terjatuh dari mata dan hilang," tulis doktor dalam laporan mereka. Walaupun pada mulanya terdapat bengkak pada kawasan mata selain mata selalu berair, bengkak itu cepat surut menyebabkan pesakit dan keluarganya percaya ia adalah keadaan biasa. Dalam tempoh 28 tahun, kanta itu 'beralih' ke bahagian kelopak mata wanita itu. Mengejutkan, ia hampir tidak menunjukkan sebarang gejala sehinggalah tahun lepas. Benjolan bersaiz kecil yang muncul 6 bulan lalu menjadi lebih besar dan menyakitkan untuk disentuh. Disebabkan kesakitan dan bengkak, pesakit memutuskan untuk mendapatkan rawatan yang akhirnya 'menemukannya' kembali dengan kanta lekapnya yang telah lama hilang.