suria

Menteri nak bersalin naik basikal ke hospital, alasannya 'kereta tak cukup ruang'

SEORANG menteri di New Zealand telah mengayuh basikal ke hospital untuk melahirkan anak pertamanya pada usia kandungan 42 minggu.

Menteri Wanita, Julie Genter dari parti Green berkata dia mengayuh basikal untuk proses induksi atas alasan 'tidak ada ruang yang cukup di dalam kereta'.

Genter menyiarkan gambar-gambar di Instagram menunjukkan dia dan pasangannya menikmati 'kayuhan indah pada pagi Ahad'.

Pada Jun, Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern menjadi pemimpin dunia yang kedua melahirkan bayi semasa memegang jawatan itu.

Ardern dan Genter memilih hospital yang sama untuk melahirkan bayi iaitu Hospital Auckland City.

Genter, 38, juga memegang peranan menteri pengangkutan bersekutu negara dan terkenal kerana sering menyokong aktiviti berbasikal.

"Inilah dia, doakan kami berjaya!" dia menulis kepada pengikutnya.

"Saya dan pasangan mengayuh basikal sebab ruang di dalam kereta tidak cukup untuk kru sokongan...tetapi ia juga meletakkan saya dalam 'mood' yang paling baik!"

Katanya, perjalanan menggunakan basikal elektrik 'kebanyakannya menurun'.

Genter yang dilahirkan di AS telah mengumumkan kehamilannya di Instagram, dengan berkata: "Kami perlu mendapatkan tempat duduk tambahan untuk basikal."

Menteri ini yang akan mengambil cuti bersalin tiga bulan menyertai beberapa ahli politik wanita lain yang melahirkan bayi ketika bertugas.

Ketika bercuti tempat Genter untuk portfolio pengangkutan akan diganti pemimpin parti James Shaw.

Manakala Eugine Sage akan bertindak sebagai Menteri Wanita.

"Kami sangat gembira dengan kelahiran bayi kedua dalam perjalanan pemerintahan. Sangat bangga menjadi sebahagian daripada parti yang saling menyokong," kata Shaw memetik The Sydney Morning Herald.

Ahli Parlimen New Zealand yang pertama melahirkan bayi adalah pada tahun 1970 dengan seorang lagi ahli politik menyusukan bayi di tempat kerja pada tahun 1983.

Australia mengubah peraturannya pada 2016 untuk membolehkan penggubal undang-undang menyusukan anak ketika di Dewan Perwakilan Rakyat. -BBC

basikal, bersalin, Julie Genter

Artikel Lain