suria

Gara-gara kereta mewah 'awek', lelaki ini beli pisau & buat 'drama' potong tangan sendiri

LELAKI sering berusaha untuk memenuhi kehendak kekasihnya, tetapi kisah ini menunjukkan seorang lelaki sanggup bertindak keterlaluan untuk memastikan kemahuan teman wanita tidak dipenuhi dan dalam masa sama dirinya tidak dipersalahkan.

Awal bulan ini, seorang lelaki bernama Tang, dari Chengdu, China, berjanji kepada teman wanitanya bahawa dia akan membelikannya sebuah kereta mewah.

Sejak itu, teman wanitanya sering bercakap tentang kereta tersebut dan janji yang telah dibuat oleh Tang.

Masalah timbul kerana Tang tidak mempunyai cukup wang, justeru dia terpaksa mencari jalan keluar dari kemelut ini.

Bagaimanapun jalan penyelesaian yang dipilihnya sangat keterlaluan!

Pada 16 Ogos, lelaki itu membawa teman wanitanya yang hanya dikenali sebagai Yang dan dua saudara lelakinya ke sebuah pengedar kereta di Chengdu, kononnya untuk membawa pulang kereta tersebut.

Tang memberitahu bahawa dia sudah membayar sebanyak 10,000 yuan (RM6,011) dari harga 700,000 yuan (RM420,794) kereta itu.

Pada satu ketika dia meminta mereka menunggunya di dalam premis tersebut sementara menunggu dia pergi mengeluarkan wang tunai.

Tetapi Tang tidak pergi mengeluarkan wang sebaliknya berlari ke sebuah pasar raya berdekatan dan membeli pisau berharga 15 yuan (RM9).

Dia kemudian menggunakan pisau itu untuk memotong tangannya sendiri sebelum memanggil teman wanitanya dan memberitahunya bahawa dia telah dirompak dan wangnya sebanyak 750,000 yuan (RM450,851) telah dibawa lari.

Tang berharap teman wanitanya berasa lega kerana dirinya selamat, tetapi dia dan saudaranya segera menghubungi polis dan kemudian membawanya ke hospital.

Malangnya kisah sebenar terbongkar ketika soal siasat.

Yang memberitahu polis bahawa teman lelakinya memberitahu bahawa dia berasal dari keluarga yang sangat kaya, tetapi hakikatnya dia hanyalah seorang lelaki biasa.

Selepas mendapat maklumat ini, polis tidak mengambil masa yang lama untuk mengetahui bahawa Tang telah merancang keseluruhan kejadian dan dia akhirnya turut mengakuinya.

Tang didenda 500 yuan kerana menipu pihak berkuasa dan akan menjalani hukuman penjara 10 hari.

Tidak jelas sama ada Yang akan menunggu Tang keluar selepas mengetahui cerita sebenar. -Shanghaiist

rompak, kekasih, kereta mewah

Artikel Lain