RUANG di belakang sebuah rumah flat tingkat bawah di Timur London dilihat dijadikan tempat untuk melapah dan memotong daging korban, satu pemandangan yang luar biasa bagi penduduk tempatan. Tetapi bagi sebuah keluarga Muslim yang menyambut perayaan Aidiladha, menjadikan ruang di belakang rumah mereka sebagai tempat memproses daging korban adalah perkara biasa. Keluarga itu kini disiasat dari aspek kebersihan selepas jiran-jirannya di Dagenham merakamkan gambar mereka dan memaklumkan kepada pegawai kesihatan alam sekitar tentang aktiviti tersebut. Ketua Eksekutif Yayasan Ramadan Mohammed Shafiq memberitahu The Sun bahawa keluarga itu tidak melakukan sebarang kesalahan dan hanya mengamalkan ajaran agama mereka. Sudah menjadi tradisi bagi keluarga Muslim untuk mengorbankan haiwan seperti lembu atau kambing dan membahagikannya kepada beberapa bahagian pada Aidiladha. Bagaimanapun, Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mempunyai garis panduan yang ketat mengenai penyembelihan haiwan, yang menurutnya ia harus dilakukan di rumah penyembelihan 'yang terletak jauh dari kawasan perumahan'. Penyembelihan mesti dilakukan dalam 'program pembersihan dan sanitasi yang dirancang dengan baik, dilaksanakan dengan baik dan terkawal'. Tidak diketahui sama ada keluarga itu telah menyembelih haiwan tersebut di rumah atau membawa haiwan yang telah disembelih dari tempat lain untuk dilapah dan dipotong di tempat mereka. Gambar dari atas halaman belakang rumah mereka menunjukkan daging mentah diletakkan di atas plastik biru. Dua lelaki kelihatan sedang berada di situ. Julia McClenaghan, 62, yang rumahnya menghadap kawasan itu menggambarkan tentang tempat kejadian. "Ia nampaknya seperti salah satu tempat yang paling tak bersih untuk menyediakan daging," katanya kepada The Sun. "Mereka menggunakan kain lama untuk membersihkan alat mereka." Majlis Barking dan Dagenham berkata pihaknya sedang melakukan siasatan. Seorang wanita di unit itu mengesahkan bahawa mereka telah memeotong daging semasa Hari Raya Korban tetapi menafikan sebarang kesalahan.