suria

14 mayat bayi ditemui dalam plastik di kawasan terbiar, 'bertukar' menjadi sisa perubatan di hospital

DALAM satu kejadian yang mengejutkan, sekurang-kurangnya 14 mayat dipercayai bayi baru lahir ditemui dalam keadaan dibungkus dengan beg plastik, di Haridebpur, selatan Kolkata pada Ahad, kata polis.

Dilitupi dengan pokok renek dan ranting, mayat-mayat ditemui pada petang Ahad ketika kawasan tanah berumput itu dibersihkan.

Kawasan ini telah ditutup oleh pegawai polis Kolkata susulan penemuan tersebut.

Datuk Bandar Sovan Chatterjee dan pesuruhjaya polis Rajeev Kumar bergegas ke tempat kejadian.

“Saya dimaklumkan oleh ahli dewan tempatan bahawa kawasan itu dipenuhi dengan sampah-sarap selama berbulan-bulan dan perlu dibersihkan.

“Ketika kerja pembersihan dijalankan, 14 mayat bayi baru lahir dijumpai dari satu bahagian kawasan itu. Mayat-mayat telah dibalut dengan plastik dan bahan kimia digunakan untuk mengelak mayat daripada terus reput,” kata Chatterjee.

“Polis sentiasa berjaga-jaga di tempat kejadian. Seluruh kawasan perlu dibersihkan untuk menentukan bilangan sebenar mayat yang dibuang di sini,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Hindustantimes polis tidak membuka bungkusan tersebut sebaliknya terus menghantarnya ke hospital M R Bangur untuk bedah siasat.

Pada petang, doktor memberitahu pihak polis bahawa bungkusan itu tidak mengandungi tisu manusia sebaliknya mempunyai sisa perubatan.

“Doktor yang membuka bungkusan itu tidak menemui tisu manusia. Mereka menemui sisa perubatan dalam ais kering. Pemeriksaan masih dijalankan untuk menentukan jenis bahan yang tepat,” kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Bahagian Selatan-Barat Kolkata Nilanjan Biswas.

“Tidak timbul persoalan melakukan bedah siasat kerana tiada unsur manusia ditemui,” kata seorang doktor di hospital M R Bangur dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.

Seorang pegawai polis yang tidak mahu dikenalpasti berkata berita penemuan bungkusan ini menimbulkan panik kerana pada November 2016, Jabatan Siasatan Jenayah Polis Bengal menemui dua rangka dan tiga tengkorak bayi baru lahir dari premis NGO Maslandapur di North 24 daerah Parganas. -KhaleejTimes

bayi, mayat, plastik

Artikel Lain