suria

Pemilik rimas, 'haram'kan semua budak bawah 14 tahun makan malam di restorannya

SEORANG pemilik restoran dikecam kerana mengharamkan kanak-kanak berusia bawah 14 tahun masuk ke premisnya selepas jam 5 petang.

Rudolf Markl, pemilik Oma's Küche (dapur nenek), sebuah restoran tradisional di Binz, di sebuah pulau di Jerman memutuskan larangan itu kerana rimas dengan perangai kanak-kanak yang suka meragam atau menimbulkan kekecohan.

Dia meletakkan papan tanda berhampiran pintu masuk restoran supaya pelanggan tahu bahawa pada waktu petang, Oma's Küche hanya dibuka untuk orang dewasa.

Walaupun dituduh diskriminasi, Markl berkata dia telah mengambil masa yang lama untuk berfikir tentang perancangannya ini sebelum keputusan dibuat.

"Kami sampai pada satu tahap berfikir 'ini tidak boleh dibiarkan'," kata Markl kepada agensi berita Jerman DPA baru-baru ini.

"Kami berada di sini bukan untuk membesarkan anak-anak, tetapi untuk memberi layanan kepada tetamu kami."

Markl memberitahu pemberita bahawa tingkah laku kanak-kanak dan ibu bapa mereka semakin bertambah buruk dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Kanak-kanak akan menarik alas meja, menjatuhkan gelas wine atau berlari ke arah ke pelayan yang sedang membawa dulang atau pinggan, sementara ibu bapa mereka hanya membiarkan sahaja malah tersenyum melihat tingkah laku anak masing-masing.

Kemuncaknya berlaku baru-baru ini, apabila sebilangan kanak-kanak merosakkan barang-barang di restoran itu, menyebabkan beberapa gambar antik rosak.

Pemangku ketua jabatan pejabat anti-diskriminasi Jerman Bernhard Franke memberitahu n-tv bahawa keputusan Markl untuk mengharamkan kanak-kanak 14 tahun dan atau yang lebih muda untuk masuk ke restorannya pada waktu tertentu wajar dipersoalkan.

Dia mendakwa pemilik mesti mempunyai alasan yang serius untuk menolak kemasukan pelanggan kategori tertentu dan alasan seperti suka buat bising sehingga mengganggu tetamu lain tidak cukup kuat.

Pemilik Oma's Küche menafikan tuduhan diskriminasi, menyatakan langkah itu bukan bermaksud menghukum kanak-kanak, tetapi lebih kepada ibu bapa yang tidak tahu mengawal anak mereka.

Markl menambah dia mahu restorannya menjadi sebuah tempat yang damai untuk tetamunya dan kanak-kanak yang suka berlari dan menimbulkan kekecohan sepanjang masa akan menjadikan impiannya mustahil dicapai.

Keputusan untuk mengharamkan kanak-kanak di bawah umur 14 tahun dari sebuah restoran telah mencetuskan kontroversi dalam media Jerman.

Walaupun ada yang menganggap langkahnya sebagai melampau atau diskriminasi, Markl mendakwa ramai pelanggan tetapnya memuji keputusannya.

Tahun lepas, pemilik restoran mewah Itali di Mooresville, North Carolina, juga mendapat perhatian media kerana mengharamkan kanak-kanak di bawah umur lima tahun.

diskriminasi, kanak-kanak, restoran

Artikel Lain