suria

Keluar sahaja penjara, Ahok dilapor akan kahwini pengawal bekas isteri

Ahok. -fotoAP

BEKAS Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok dilaporkan akan menjadikan perkahwinan sebagai keutamaannya setelah bebas dari hukuman penjara.

Menurut laporan detikcom wanita tersebut adalah seorang polis yang hanya dikenali dengan nama singkatan 'PND'.

PND dilaporkan pernah bertugas mengawal bekas isteri Ahok, Veronica Tan dan diketahui juga sering menghantar makanan kepada Ahok sepanjang dia menjalani hukuman penjara di Rutan Mako Brimob, Depok, Jawa Barat.

Berdasarkan foto yang diterima detikcom, PND dilihat sedang berposing sambil memakai baju hitam dan berambut paras bahu.

-foto detikcom

Sebelumnya laporan perkahwinannya, Ahok memang merancang untuk berkahwin selepas tempoh hukumannya tamat.

Peguam Ahok, Teguh Samudera berkata Ahok pernah memaklumkan perkara itu ketika mereka bertemu di Mako Brimob.

"Semalam saya baru berjumpa dengannya, banyak yang kami bualkan. Semalam kami bercakap tentang kahwin lagi. Tapi belum disebut dengan si A, si B. Dan waktunya juga belum disebutkan bila," kata Teguh yang dihubungi detikcom pada Rabu.

Sebuah media asing, Asia Times pada Selasa melaporkan Ahok akan berkahwin dengan seorang polis wanita yang pernah mengawal isterinya, Veronica Tan.

"Prioriti pertama Purnama setelah keluar dari penjara adalah sesuatu yang jauh lebih peribadi. Iaitu perkahwinannya dengan polis wanita yang bertugas sebagai pengawal isterinya Veronica," tulis Asia Times.

Teguh bagaimanapun menepis khabar tersebut.

"Soal isteri, nanti. Orang boleh cakap macam-macam," kata Teguh memetik detikcom.

Bekas ahli politik Parti Demokratik Ruhut Sitompul mengesahkan bahawa Ahok dan wanita misteri itu akan 'bersatu' pada bulan Januari.

‎"Januari (kahwin) selepas dia bebas.

"Saya tengok dia sangat cantik, Pras (Speaker Majlis Bandaraya Jakarta Prasetyo Edi Marsudi) tunjuk gambarnya," kata Sitompul memetik JawaPos, Rabu.

Ruhut berkata kecantikannya sepadan dengan fizikal Ahok selepas keluar penjara nanti yang mana Teguh pernah berkata bahawa Ahok menghabiskan banyak masa di penjara dengan belajar kung fu dan bentuk badannya lebih menarik.

"Tahniah, Ahok selama di sana dia belajar berguru dan juga menjadi lelaki macho kerana badannya sekarang 'OK banget'," katanya.

Pada 8 Januari lalu, Ahok, 51, memfailkan perceraian ke atas Veronica, 40, yang dikahwininya pada 1997 dan turut dikurniakan tiga cahaya mata, Nicholas Sean, 19, Nathania Berniece, 16, dan Daud Albeenner, 11.

Bekas gabenor itu mendapat hak jagaan Nathania dan Daud yang dianggap masih di bawah umur di bawah undang-undang Indonesia selepas beliau selesai menjalani hukuman penjara.

Sebelum ini, Ahok dihukum penjara dua tahun selepas disabit bersalah menghina agama pada Mei tahun lalu.

Beliau dijangka bebas pada Januari 2019.

Ahok, kahwin, penjara

Artikel Lain