suria

Suami tanggung kos IVF, isteri diam-diam tukar sperma dengan kekasih

-foto East2West News/The Sun

SEORANG wanita secara diam-diam telah menukar sperma suaminya dengan sperma kekasihnya semasa menjalani rawatan persenyawaan in vitro (IVF) dan melahirkan seorang bayi lelaki, mahkamah memutuskan.

Suami kepada Yana Anokhin selama ini tidak tahu bahawa budak lelaki itu bukan anaknya dan perkara ini dirahsiakan dari pengetahuannya selama setahun.

Hanya selepas bercerai, Yana, 38, mendedahkan perkara mengejutkan ini.

Suaminya Maxim Anokhin berjaya menyaman sebuah klinik di Moscow yang membenarkan pertukaran sperma selepas dia membesarkan anak yang dianggap miliknya selama setahun.

Sebuah video di rumah menunjukkan dia menyuap kanak-kanak itu yang dipanggil, Timofey, atau Timosha.

Maxim berkata dia 'menyayangi dan menyokong' budak itu ketika mahkamah memberikannya ganti rugi £4,600 (RM24,647) atas kerugian moral dan kewangannya.

"Saya percayakan isteri saya. Saya yakin dan percaya kepadanya, 100 peratus.

"Ini bermakna apabila saya diberitahu mengenainya, saya terkejut, saya berasa sedih dan saya tidak boleh mempercayainya."

Mahkamah mendapati Maxim telah membayar rawatan IVF itu.

Dia memberikan spermanya dengan tanggapan bahawa dia akan menjadi seorang bapa.

Laporan mahkamah mengatakan Yana mahu bapa kepada bayinya adalah seorang lelaki yang dicintainya dan bukan suaminya.

-foto East2West News/The Sun

Pasangan itu kemudian berpisah dan kini berada dalam hubungan baru. Yana kini menjalinkan hubungan dengan kekasihnya, yang juga bapa kandung anaknya.

Laman berita Rusia Vesti melaporkan bahawa Yana adalah individu yang memulakan proses penggantian sperma suaminya.

Ujian DNA kemudian membuktikan bahawa Maxim bukan bapa biologi kanak-kanak itu yang mendorongnya untuk menyaman Pusat Perubatan Kulakov kerana membenarkan pertukaran sperma.

Maxim berkata dia menyaman bekas isterinya untuk keadilan dan bukan untuk wang.

"Saya mahu menjadikan perkara ini umum, jadi tidak ada lagi lelaki yang ditipu seperti saya, suami ditipu, pada masa akan datang.

"Ia tidak sepatutnya berlaku lagi."

Peguam Maxim Olga Nemtseva berkata klinik itu tidak sepatutnya hanya mengikut kehendak Yana sebaliknya mereka juga mempunyai tanggungjawab ke atas Maxim.

"Pastinya dia sangat berminat untuk tahu siapa sebenarnya bapa biologi anaknya."

Mahkamah mendapati kakitangan klinik itu membantu Yana menukar sperma, seperti yang dilaporkan dalam Vesti.

Doktor yang dinamakan dalam tuntutan mahkamah, Liya Kazaryan, enggan mengulas mengenai kes itu.

"Saya tidak mahu ditemuramah. Saya tidak mahu bercakap satu perkataan pun mengenai perkara ini."

Peguam Yana, Denis Ivchenko, berkata dia tidak akan mengulas mengenai kes itu tanpa kebenaran anak guamnya.

"Tanpa persetujuannya saya tidak boleh bercakap satu perkataan pun."

Maxim kini sudah mempunyai teman baharu dan mempunyai seorang anak. Dia pasti kanak-kanak itu adalah miliknya kerana dia dilahirkan tanpa menjalani IVF.

"Dia gembira tapi dalam masa yang sama tak dapat melupakan seorang lagi kanak-kanak lelaki yang dianggap sebagai anak sendiri selama setahun," kata peguamnya.

 -The Sun

IVF, sperma, kekasih

Artikel Lain