suria

Tabiat gigit kuku bawa padah, ibu jari terpaksa dipotong

SEORANG pelajar yang mempunyai tabiat menggigit kuku jarinya terpaksa melalui detik sukar apabila ibu jarinya terpaksa dipotong selepas dijangkiti kanser kulit yang jarang berlaku.

Courtney Whithorn, 20, memulakan tabiat tersebut sejak 2014 selepas menjadi mangsa buli di sekolah.

Walaupun bimbang dengan ibu jarinya yang mula bertukar kehitaman, gadis itu nekad menyembunyikan perkara tersebut daripada pengetahuan keluarga dan juga rakannya.

Dia bertindak menggenggam tangannya selain memakai kuku palsu selama empat tahun untuk mengelak masalah itu diketahui ramai.

Namun, masalah itu akhirnya terbongkar selepas Courtney disahkan menghidap kanser kulit yang jarang berlaku di ibu jarinya.

Courtney yang berasal dari Newton Aycliffe, Co Durham berpindah ke Gold Coast, Australia sembilan tahun lalu.

"Apabila saya mendapati tabiat menggigit kuku menjadi punca kanser tersebut, ia amat mengejutkan saya.

Courtney melakukan tabiat menggigit kuku sejak 2014.

"Di kepala saya, saya hanya fikir saya lakukannya untuk diri sendiri tetapi saya tahu saya tidak patut berbuat demikian. Sukar untuk saya mempercayainya," katanya.

Sejak disahkan menghidap penyakit itu pada Julai lalu, Courtney telah menjalani empat pembedahan.

Meskipun ada usaha untuk menyelamatkan ibu jarinya, namun ia terpaksa dipotong pada pembedahan keempat.

"Apabila anda fikir mengenainya, berapa ramai kanak-kanak mempunyai tabiat menggigit kuku mereka.

"Saya terkejut apabila kulit saya bertukar hitam jadi saya tunjukkan kepada mereka buat pertama kalinya pada tahun ini," katanya.

Courtney bertemu seorang doktor untuk alasan kosmetik dan dirujuk kepada pakar bedah plastik yang mencadangkan agar kuku itu dibuang untuk menyingkirkan kulit hitam tersebut.

Namun sebelum pembedahan pertama dilakukan, doktor memberitahu ada sesuatu yang tidak kena dan saya melakukan biopsi.

"Mereka melakukan lebih banyak pemeriksaan dan keputusannya mendapati saya dijangkiti melanoma malignan yang sangat jarang berlaku terutama untuk seseorang pada usia saya," katanya.

Courtney masih menunggu hasil keputusan pembedahan tersebut dan pakar bedah akan terus memantau keadannya dalam tempoh lima tahun akan datang dengan melakukan beberapa imbasan biasa.

gigit, kuku, kanser

Artikel Sebelum

Artikel Lain