suria

Nenek lapan cucu bakal lahirkan bayi kembar empat

Britten dijangka melahirkan tiga bayi perempuan dan seorang bayi lelaki. FOTO: VignerVidal

KEHIDUPAN seorang wanita yang mempunyai tiga anak dan lapan cucu dijangka akan menjadi lebih meriah dengan kehadiran bayi kembar empat yang bakal dilahirkannya tidak lama lagi.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Britten, 50, dijangka menjadi ibu kepada bayi kembar empat yang paling tua di United Kingdom.

Menerusi ujian imbasan yang dilakukan, dia dijangka melahirkan tiga bayi perempuan dan seorang bayi lelaki.

Dia sebelum ini melakukan rawatan persenyawaan tabung uji dengan bayaran £7,000 (RM37,821) sebelum mendapat berita gembira tersebut.

Ujarnya, dia menggunakan wang yang diwarisi dari ibunya untuk melakukan rawatan berkenaan.

"Setiap tahun saya rasa macam nak dapatkan anak. Bila dah mencecah usia 50 tahun, saya teruskan sahaja hasrat itu," katanya.

Malah, dia juga tidak mengendahkan sebilangan pihak yang mempertikaikan kemampuannya untuk hamil pada usia itu.

"Orang kata, saya dah jadi nenek tapi nak mengandung lagi. Jadi, apa masalah? Saya bukan yang pertama dan ini pastinya bukan kes terakhir.

"Saya tak kelihatan seperti wanita berusia 50 tahun malah tak easa tua pun. Orang boleh berkata apa sahaja tetapi mereka tidak tahu kisah saya.

"Mereka pastinya akan berubah fikiran selepas melihat empat bayi saya yang comel nanti," ujarnya lagi.

Dia yang kini enam bulan mengandung dijangka bersalin secara pembedahan tidak lama lagi. - DailyMail.

kembar empat

Artikel Sebelum

Papan tanda paling serabut di dunia!

Artikel Berikut

Artikel Lain