SEORANG remaja berusia 13 tahun bertindak membunuh dua adiknya serta seekor kucing setelah menerima arahan misteri, baru-baru ini. Suspek memberitahu polis dia mendengar 'suara' untuk membebaskan adiknya Desiree McCartney, 2 tahun, dan Nathaniel Ritz, 11 bulan. Desiree ditemui mati di kediaman keluarga mereka di Osgood, Indiana pada Mei tahun lalu manakala Nathaniel pula meninggal tiga bulan kemudian, pada Ogos. Suspek tersebut turut memberitahu beberapa saudaranya bahawa dia menutup kepala adiknya dengan selimut sehingga mereka berhenti membuat bunyi bising. Seorang saksi juga mendakwa terlihat suspek mencekik seekor kucing sehingga terkeluar organ dari badan pada September lalu. Malah, dia ditemui dalam keadaan tangannya dipenuhi darah setelah membunuh haiwan tersebut. Ujarnya, dia bertindak sedemikian setelah dicakar kucing itu. Pemilik kucing tersebut yang juga saudaranya menyifatkan remaja itu panas baran seperti watak filem popular, Hulk. Malah, suspek juga pernah memberitahu wanita itu bahawa dia mungkin perlu meninggal dunia kerana hidupnya menghidap penyakit diabetis sehingga perlu bergantung kepada kaki palsu. Sementara itu, menurut Fox59, suspek memberitahu detektif penyiasat bahawa dia tidak merancang kematian adiknya, sebaliknya hanya mahu membebaskan mereka dari 'neraka'. Menurut laporan, dia memberitahu polis mengenai perbualan dengan 'tuhan' namun tidak mahu bercerita lanjut kerana sudah berjanji untuk merahsiakannya. Suspek tinggal bersama ibu, adik beradik, dan teman lelaki ibunya sewaktu pembunuhan itu berlaku. Suspek ditahan di bawah tahanan juvana sejak bulan lalu dan bakal menghadapi dua pertuduhan bunuh tidak lama lagi- Metro.UK