SEORANG lelaki warga Mesir yang bekerja sebagai penyambut tetamu di Arab Saudi ditahan baru-baru ini selepas memuat naik video pendek yang menunjukkan dirinya sedang sarapan bersama seorang wanita yang memakai niqab, di media sosial. Lelaki itu yang hanya dikenali sebagai Bahaa itu ditahan pada Ahad lalu selepas video dirinya bersarapan dengan seorang pekerja wanita di sebuah hotel di Jeddah, menimbulkan rasa kurang senang ramai di media sosial. Klip video itu menunjukkan hanya Bahaa dan wanita yang memakai niqab menikmati sarapan pagi, tetapi ia jelas merupakan pelanggaran undang-undang Arab Saudi yang menyatakan bahawa tempat kerja dan restoran harus mempunyai ruang yang berasingan untuk lelaki dan wanita. Ia menimbulkan kecaman sebahagian besar penduduk Arab Saudi, yang melihat tingkah laku berkenaan tidak bersesuai dengan budaya di negara itu. Selepas dikecam, Bahaa kemudian memuat naik video kedua mengenai reaksi orang ramai yang dibesar-besarkan, memandangkan dia hanya bersarapan dengan rakan sekerja. Bahaa yang ditahan pihak berkuasa kerana videonya yang menyinggung ramai di media sosial berkemungkinan berdepan untuk penjara atau diusir keluar dari Arab Saudi di atas kesalahannya. Pemilik hotel juga dipanggil untuk memberi penjelasan, khususnya mengapa gagal mematuhi peraturan yang berkaitan dengan tingkah laku wanita di tempat kerja, dan mengapa mengupah seorang ekspatriat untuk melakukan pekerjaan yang sepatutnya dikhususkan kepada warga Arab Saudi. - odditycentral