PIHAK polis mendedahkan mereka mengalami situasi menyeramkan di rumah Chris Watts yang didakwa membunuh isterinya yang sedang hamil dan dua anak perempuan pasangan itu. Watts, 33, kini dipenjarakan selepas disabitkan kesalahan membunuh keluarganya di rumah mereka di Frederick, Colorado. Pegawai polis dipanggil untuk ke rumah tersebut pada 13 Ogos selepas seorang rakan melaporkan kehilangan Shannan (isteri Watts) selepas beberapa jam wanita itu kembali daripada lawatan kerja. ARTIKEL BERKAITAN: Isteri mengandung, dua anak dibunuh, sorok mayat dalam tangki minyak elak bau busuk Pegawai polis pertama yang tiba di rumah itu pada pukul 1.40 petang mendapati semua tingkap dan pintu terkunci serta tiada jalan untuk masuk ke dalam rumah tersebut. Pegawai polis menghubungi Watts, yang kemudian datang ke rumah itu dan mereka membenarkan dia masuk, lapor People. Ketika lelaki itu masuk ke dalam rumah, polis nampak kelibat Shanann tiba di rumah dengan selamat dan terdapat bagasi diletakkan di tangga serta kasut wanita berhampiran pintu. Bagaimanapun, wanita itu tidak berada di situ dan tidak membawa apa-apa bersamanya kecuali anak mereka. Polis berkata, beg tangan, dompet dan ubat-ubatan Shanann masih berada di dalam rumah itu. Satu lagi penemuan aneh termasuk telefon bimbit Shanann ditemukan di atas kusyen tingkat atas kediaman tersebut dan bukannya di dalam beg tangan wanita itu. Afidavit menyatakan kenyataan Watts berubah selepas pendedahan polis itu dibuat. Watts pada awalnya memberitahu polis bahawa Shanann tiba di rumah mereka pada pukul 2 pagi dan meminta untuk berpisah pada pukul 5 pagi. Kata Watts, dia ingin keluar bekerja pagi itu sementara isterinya masih tidur. Namun, Watts akhirnya memberitahu tentang perkara sebenar selepas pihak berkuasa mendapati dia mempunyai hubungan sulit dengan seorang rakan sekerja. Watts mendakwa, dia membunuh Shanann selepas memberitahu isterinya tentang hasrat untuk berpisah dan kemudian melihat wanita itu mencekik anak mereka, Celeste, 3. Lelaki itu turut mendakwa, dia nampak anaknya, Bella, 4, terbaring tidak bernyawa dan kebiruan. Watts ditahan pada 15 Ogos dan mayat isterinya serta anak mereka dijumpai pada keesokan harinya di kawasan milik bekas majikan lelaki itu. Setakat ini, Watts tidak mengemukakan rayuan untuk kes tersebut. - Mirror UK