SEORANG lelaki yang digilis trak 2 tan semasa berjemur bernasib baik kerana perutnya yang berketul-ketul (six-pack abdomen) telah menyelamatkan nyawanya. Jack Moore, 21, sedang berbaring di Earlham Park, Norwich, bersama teman wanitanya, Vicky Clarke sebelum mereka digilis oleh sebuah trak pengangkut sampah dalam kejadian pada Jun 2017. Dia mengalami kecederaan paru-paru dan hati tetapi doktor memberitahu bahawa kecederaan itu mungkin lebih teruk jika bukan sebab gaya hidup sihat yang diamalkannya sebelum ini. "Doktor kata saya bernasib baik kerana saya mempunyai lebih banyak otot jika tidak, saya mungkin akan mengalami kecederaan lebih teruk. "Mereka kata dulu saya sangat sihat dan itu juga merupakan faktor besar dalam proses pemulihan saya," kata Moore. Moore 'hilang' six-pack di perutnya selepas pembedahan. -foto Mirror Moore berkata dia hanya menyedari 'kehadiran' trak jenis Toyota Hilux itu apabila ia berada kira-kira satu kaki dari kepalanya dan tidak mempunyai masa untuk bertindak balas. "Roda depan menggilis perut saya dalam keadaan sangat menyedihkan. Ia adalah perkara terakhir yang saya jangkakan akan berlaku, saya fikir disebabkan adrenalin saya tidak merasakan kesakitan dengan segera. "Kemudian ia dipandu ke arah Vicky, berhenti di atasnya dan mula mengundur. Saya sempat keluar dari bawah trak sebelum ia menggilis saya lagi," katanya. -foto Mirror Moore berkata perutnya kelihatan cacat dengan pusatnya tertolak ke sebelah kiri perut. Moore patah tulang selangka dan tulang belakang serta retak sternum, menurut Mirror. Dia juga dapat melihat kesan tayar trak di perutnya, tetapi apabila berasa sakit, dia tidak dapat menjerit kerana paru-parunya terasa 'ketat'. Pada masa itu orang ramai berkumpul dan menyuruhnya diam dan memberi tumpuan kepada pernafasan sehingga ambulans tiba. "Seterusnya, ingatan saya yang jelas adalah terjaga di tempat tidur hospital. Perut saya sangat sakit. Saya menarik selimut dan melihat luka dari bawah puting ke pangkal paha saya. "Ada banyak tiub dan jarum di seluruh badan saya. Saya panik. Saya tak tahu apa yang berlaku. Adakah pasangan saya OK? Ibu saya berada di sisi saya dan beritahu saya bahawa Vicky telah digilis tapi dia masih hidup." -foto Mirror Vicky menderita patah tulang belakang dan tulang rusuk serta retak tulang sternum. Moore kini menderita dengan PTSD dan tidak boleh menggunakan tandas dengan betul akibat kecederaannya. "Saya masih ingat ketika saya nampak roda di sebelah kanan saya dan melihat ia dipandu ke arah saya. Ia benar-benar traumatik. "Taman adalah tempat di mana saya sentiasa berasa selamat sebelum ini. Saya telah pergi ke sana selama bertahun-tahun membawa anjing bersiar-siar selain menjadi tempat keluarga dan kanak-kanak bersantai." Pemandu trak itu telah didenda £195 dan dipecat. Jurucakap syarikat tempatnya berkerja, Norse berkata: "Kami merujuk perkara ini kepada penanggung insurans kami sejurus selepas insiden berlaku. Perbincangan antara kedua belah pihak yang terlibat sedang dijalankan dengan niat untuk mencapai penyelesaian yang dipersetujui. "Eksekutif Kesihatan dan Keselamatan (HSE) membuat kesimpulan bahawa pemandu tidak memberi perhatian adalah punca utama kemalangan itu. Pemandu yang berkenaan telah diberhentikan dan HSE mengakui langkah-langkah tegas telah diambil oleh syarikat kami susulan insiden tersebut."