AHLI silap mata terkenal, David Blaine akhirnya menarik nafas lega setelah pihak polis memutuskan tiada sebarang tindakan akan dikenakan ke atasnya berhubung dakwaan merogol seorang model pada 2004. Menerusi kejadian itu, Blaine didakwa merogol Natasha Prince, 21, selepas mereka bertemu di sebuah parti. Pada 2016, Natasha mengambil keputusan untuk membongkar insiden itu sebelum Blaine tampil mempertahankan dirinya. Ujar Blaine, ia bukanlah kes rogol kerana mereka bersetuju untuk melakukan hubungan seks dan ia berlaku dengan persetujuan Natasha. Menerusi temu bual bersama Daily Beast, Natasha berkata dia bertemu Blaine di sebuah parti yang diadakan di kelab malam Wellington, Knightsbridge, barat London sebelum dijemput ke kediaman rakan ahli silap mata itu. "Kami berada di ruang tamu, ada beberapa pasangan lain. Selepas itu dia beri saya vodka dalam gelas kaca. "Dia cakap nak tunjuk sesuatu di dalam bilik tidur. Saya ikut dia sebelum kami bercumbu. "Dia suruh saya habiskan minuman itu letakkan gelas di meja, itu perkara terakhir yang saya ingat," ujar Natasha. Tambah Natasha, dia membuat laporan polis 12 tahun selepas kejadian itu kerana berasa malu dan mahu berhenti menyalahkan diri sendiri. Menjawab dakwaan itu, Blaine berkata ia merupakan satu tuduhan kosong yang tidak masuk akal. Pihak polis Scotland Yard yang berpuas hati dengan hasil siasatan kes itu bagaimanapun memutuskan untuk tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Blaine. Natasha yang berasal dari Liverpool mula menjadi model sewaktu berusia 15 tahun. Dia pernah menjadi penghias muka hadapan majalah terkenal seperti Vogue edisi Jerman, Elle (Perancis) dan Glamour (Itali). Dia kini bekerja sebagai perunding jualan karya seni di New York.- The Sun.