RAKAMAN yang memaparkan pertanyaan seorang ibu terhadap anaknya yang sedang berbual dengan 'rakan ghaib' ternyata mengundang perhatian ramai sehingga tular di Facebook. Lebih menyeramkan, terdapat suara misteri individu ketiga yang menyebut "krub" biarpun hanya ibu dan anak itu yang berada di lokasi berkenaan. Kejadian berlaku di sebuah sekolah d Songkhla pada Isnin petang dan mula tular setelah dimuat naik ke Facebook oleh wanita itu yang menggunakan nama Kru Ju Taksaporn Yodthong. Pada Rabu, video berkenaan meraih 4.3 juta tontonan dan dikongsi lebih 53,000 kali oleh pengguna media sosial. Menerusi rakaman itu, ibu dan anak itu berada di kawasan sekolah kerana terperangkap dalam hujan sehingga lewat petang. Wanita itu mendapati anak kecilnya sedang bercakap sendirian di hadapan bilik komputer, tingkat dua bangunan sekolah itu. Apabila disoal, anaknya memberitahu dia sedang berbual dengan seorang budak kecil yang memakai kasut berwarna merah jambu. Namun, wanita itu ternyata hairan kerana pada tiada individu lain yang berada di lokasi itu bersama mereka. Kerana bimbang diekori 'kanak-kanak misteri' tersebut, wanita itu menyuruh anaknya supaya memberitahu bahawa kereta mereka sudah penuh. Menurut wanita itu, ia bukanlah kejadian pertama kerana anaknya pernah beberapa kali bercakap sendirian dan kadang-kala kelihatan berkongsi minuman soda dengan rakan imaginasinya. - The Nation/Asia News Network.