RUSIA: Seorang wanita anoreksia dengan berat hanya 17 kilogram (kg) berdepan dengan maut dalam tempoh setahun jika tidak dirawat. Kristina Karyagina, 26, dari Barnaul juga disaran oleh doktornya agar berlakon dalam filem seram dek susuk tubuhnya, hanya tinggal tulang rangka. Menurut portal Mail Online, Kristina mengalami anorexia kerana enggan makan dan doktornya memberitahu ia seperti mayat hidup. Kristina dikatakan berhenti makan ketika dia berada di sekolah menengah dan sejak itu berat badan semakin merosot serta kurus. Dia telah mengamalkan diet dalam tempoh beberapa tahun dengan hanya memakan beberapa kepingan kecil epal dan pisang. Difahamkan, berat badan Kristina lebih ringan daripada pesakit anorexia yang meninggal dunia iaitu 18 kg dan 25 kg. Keadaan berat badan Kristina boleh mengakibatkan kerosakan organ yang serius. Bagaimanapun masalah itu mendapat perhatian bintang realiti televisyen yang juga bekas anorexia, Maria Kokhno yang tampil untuk membantunya malah telah memulakan kempen rawatan buat Kristina sebelum terlewat. Kempen Kokhno itu dilaksanakan menerusi Instagram miliknya dengan jumlah peminat seramai 520,000. Dia juga meminta bantuan doktor pakar, Dr Yan Goland bagi membantunya untuk memulihkan Kristina.