FLORIDA: Seorang pelajar penerbangan yang disyaki menaiki pesawat kosong di lapangan terbang di bandar ini pada awal pagi Khamis didakwa atas cubaan mencuri kapal terbang. Menurut jurucakap Lapangan Terbang Antarabangsa Orlando-Melbourne, pasukan Petugas Keganasan Bersama sedang menyiasat bagi memastikan motif kes berkenaan. Beliau memberitahu pemberita, pelajar Institut Teknologi Florida yang dikenali sebagai Nishal Sankat itu juga berdepan pertuduhan pelanggaran visa dan pencerobohan. Terdahulu, dia ditahan selepas cuba menceroboh pesawat American Airlines Airbus 321 yang kosong di kawasan penyelenggaraan, Lapangan Terbang Antarabangsa Orlando-Melbourne. Tindakan itu menyebabkan jadual penerbangan tergendala selama lima jam. Menurut pihak berkuasa, pelajar itu dilaporkan memandu ke luar lapangan terbang dan meninggalkan keretanya, lalu berlari dan seterusnya melompat pagar dan menaiki pesawat. Ia juga memaksa semua kakitangan dan penumpang terpaksa dialihkan dari terminal ketika kejadian.-Reuters