PIHAK berkuasa menyiasat beberapa guru berhubung kematian seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun di sekolahnya pada Ahad yang didenda kerana bercakap semasa waktu rehat. Pelajar berkenaan yang tinggal di asrama Sekolah Menengah No 2 di Xinshao, China, diarahkan oleh gurunya melakukan lompat katak mendaki cerun setinggi 20 meter. Dia melakukannya, tetapi jatuh pengsan, pemerintah di daerah Xinshao, wilayah Hunan memberitahu South China Morning Post. Dia dibawa ke hospital, di mana dia diisytiharkan mati dan didapati mengalami pendarahan di mulut, telinga dan hidung, lapor Thepaper.cn pada Rabu. Polis mendapati tiada sebarang kesalahan telah dilakukan dengan menilai tidak ada hubungan fizikal berlaku antara pelajar itu dengan guru. -foto SCMP Bagaimanapun guru terbabit dan tiga yang lain sedang disiasat oleh pihak berkuasa setempat kerana melakukan salah laku di tempat kerja, kata jurucakap kerajaan daerah itu. "Polis belum lagi memfailkan kes itu, tetapi jawatankuasa parti dan biro pendidikan sedang menyiasat," katanya. Menurut ahli keluarga pelajar itu yang hanya mahu dikenali sebagai Zhang, dia didapati bercakap dengan rakan sekelas pada waktu rehat petang Ahad dan kedua-duanya diarahkan untuk pergi ke taman permainan melakukan lompat katak sebagai hukuman, menurut laporan Thepaper. Guru terbabit, yang hanya dikenali sebagai Xie menyuruh kedua-dua pelajar meletakkan tangan di belakang mereka ketika melompat mendaki cerun, menurut keluarga mangsa yang melihat rakaman. Mangsa yang digambarkan oleh keluarganya sebagai cergas dan aktif, terjatuh apabila mahu sampai ke atas dan tidak sedarkan diri. Xie, pengetua sekolah, timbalannya dan ketua pendidikan moral dan politik sedang disiasat, kata jurucakap itu.