SEORANG suspek rogol dikatakan bebas dari sebarang dakwaan pihak berkuasa dan tidak diambil tindakan kerana mempunyai anak berpangkat inspektor di India. Dakwaan itu dibuat oleh seorang wanita yang menjadi mangsa rogol lelaki berkenaan. Menurut mangsa, dia mendakwa lelaki bernama Karan Singh, bapa kepada seorang pegawai polis di Haryana telah menodainya baru-baru ini. Menerusi kejadian itu, lelaki berkenaan datang ke rumahnya untuk memberikan jemputan majlis perkahwinan sebelum bertindak merogolnya. Lelaki berkenaan dikatakan mengugut wanita itu dan berkata dia tidak akan didakwa kerana anaknya seorang polis. Mengikut laporan, wanita itu mendakwa dirogol sebanyak empat kali. Selain perogol tersebut, isteri dan keluarganya dikatakan turut mengugut mangsa. Dakwa wanita itu lagi, dia kecewa kerana polis tidak mengambil sebarang tindakan sewaktu dia membuat laporan baru-baru ini. Disebabkan itu, dia telah memohon bantuan daripada Suruhanjaya Hak Asasi Negeri Hayana pada Jumaat lalu. Sewaktu bercakap kepada pengerusi keadilan SK Mittal yang mewakili suruhanjaya tersebut, dia berharap agar kesnya dapat dibawa ke muka pengadilan dan diadili sewajarnya.-IndiaToday.