suria

Apple Store di China lengang, tak ramai beratur beli iPhone XS. Kenapa?

Suasana di luar Apple Store di Wangfujing, kawasan membeli-belah terkenal di Beijing, pada pagi Jumaat. -foto Weibo

MODEL iPhone XS dan XS Max telah berada di pasaran seluruh dunia pada Jumaat.

Walaupun ramai peminat setianya sanggup beratur di luar premis Apple termasuklah di Sydney dan Singapura, pemandangan berbeza dapat dilihat di China walaupun negara itu adalah pasaran utama untuk telefon bimbit iPhone keluaran Apple.

Gambar di Weibo menunjukkan hanya sekelompok pelanggan sedang berkumpul di luar Apple Store di Wangfujing, kawasan membeli-belah yang terkenal di Beijing, pada pagi Jumaat.

Bagaimanapun, kurangnya jumlah pelanggan yang beratur di sana sebenarnya tidak ada kaitan dengan permintaan sebenar untuk telefon bimbit keluaran terbaru Apple itu.

Ini kerana, tidak seperti bandar-bandar lain di seluruh dunia, di China dan Hong Kong pelanggan tidak boleh hanya masuk ke Apple Store dan membeli iPhone baharu mereka pada hari pertama ia dijual.

Semuanya bermula pada tahun 2012 susulan kejadian rusuhan di luar Apple Store di Beijing.

Pelanggan yang telah beratur selama berjam-jam naik angin apabila Apple, yang tidak pasti bagaimana untuk mengendalikan pelanggan yang ramai memutuskan untuk menghentikan penjualan iPhone 4S pada saat-saat akhir.

Orang ramai yang marah telah menumbuk pengawal keselamatan dan melemparkan telur ke tingkap premis, menyebabkan polis terpaksa campur tangan.

Sejak itu, Apple di China telah membatalkan penjualan secara 'walk-in' untuk telefon keluaran terbaharunya, sebaliknya membuat sistem tempahan dalam talian.

Pembeli perlu mendaftar masuk dengan Apple ID, meminta kod pendaftaran melalui SMS dan memasukkan kod itu bersama dengan nombor telefon mereka.

Setiap pelanggan kemudiannya diberikan satu slot masa di stor-stor pilihan mereka. Mereka boleh mengambil telefon baharu mereka dengan menunjukkan kad pengenalan yang sah.

-foto Weibo

Tetapi pada Jumaat, terdapat sebuah Apple Store di China di mana anda masih boleh melihat peminat setianya bersemangat berbaris di luar kedai.

Apple Store pertama di bandar Suzhou, yang terletak di barat Shanghai, meraikan pembukaannya dengan memberikan baju-T percuma.

Bagaimanapun orang pertama yang memiliki iPhone XS di China tidak mendapatkannya melalui Apple Store.

Menurut media China, ia adalah milik seorang lelaki di Hangzhou, yang menempah perantinya melalui Tmall, platform membeli-belah Alibaba dalam talian dan datang sendiri mengambilnya pada pukul 8 pagi. -Abacus

beli iPhone, iPhone XS, iPhone XS Max

Artikel Lain