suria

Seminggu bayi mati dalam kandungan, ibu akhirnya bersalin sendiri kerana staf hospital sibuk

Gambar hiasan. -fotoNewshub

SIASATAN sedang dijalankan selepas seorang wanita terpaksa melahirkan bayinya yang mati dalam kandungan seorang diri di Hospital Rotorua, New Zealand.

Tidak cukup dengan itu, dia kemudian terpaksa memegang bayinya yang mati itu selama 25 minit tanpa diberikan rawatan perubatan.

Pada 1 Mac, Jamie Bowman dimaklumkan bahawa imbasan menunjukkan jantung bayinya telah berhenti berdegup.

Dia diminta untuk pergi ke Hospital Rotorua, tetapi sebaik tiba di sana, dia disuruh pulang ke rumah kerana tiada kakitangan yang berkelayakan.

Dia mengambil ubat untuk menggugurkan kandungan lima hari kemudian dan akhirnya melahirkan bayi itu pada 8 Mac di hospital yang sama.

"Pada masa itu, bayi sudah mati dalam kandungan tanpa siapa tahu sudah berapa lama, tetapi sudah beberapa hari sejak ia diketahui, jadi saya menunggu selama seminggu ketika anak saya sudah mati," katanya kepada Stuff.

Kematian dalam kandungan sebegini disebut 'lahir mati'.

Selepas tiba di hospital untuk melahirkannya, dia diberitahu bahawa jururawat bertukar syif dan hanya dapat membantunya apabila mereka dapat berbuat demikian.

Bowman terpaksa melahirkan bayinya tanpa bantuan perubatan dan hanya ditemani ibunya. Selepas itu, dia duduk memegang bayinya yang telah mati selama 25 minit.

Ibunya keluar dari bilik sambil 'memegang bedpan yang diletakkan bayi meninggal dunia itu dan berlumuran darah' tetapi kakitangan masih berkata mereka sibuk dan tidak mempunyai masa.

"Kesukaran dalam seluruh proses adalah satu perkara yang menyedihkan dan mengerikan. Saya berasa benar-benar kecewa dengan sistem kesihatan," kata Bowman kepada Stuff.

"Tidak siapa pun yang peduli tentang apa yang telah saya lalui dan tidak ada sesiapa yang sanggup membantu. Jijik apabila ada orang yang tergamak melayan ibu bersalin dengan cara ini dan hanya melupakannya."

Lembaga Kesihatan Lakes District berkata pihaknya kesal apabila pesakit tidak mendapat pengalaman yang baik dalam lawatan mereka.

Aduan Bowman sedang disiasat.

lahir mati, gugur

Artikel Lain