suria

Ibu enggan beli tiket, akibatnya anak 5 tahun tergantung di luar buaian pusing

SEORANG kanak-kanak berusia lima tahun tergantung pada ketinggian 42 meter dari tanah apabila kepalanya tersangkut di buaian pusing di sebuah taman tema di bandar Zhejiang, China.

Ibu kepada kanak-kanak tersebut dipercayai telah memujuk staf di situ untuk 'melepaskan' anaknya menaiki permainan itu bersendirian semata-mata tidak mahu membayar tiket berharga 30 yuan (RM18).

Kejadian malang ini berlaku apabila Xiao Liang, mula memanjat besi pada buaian itu dan kemudian tergelincir ke luar melalui tingkap, menyebabkannya hampir terjatuh dari buai berkenaan, tetapi kepalanya yang tersekat telah menyelamatkannya.

Beberapa orang saksi turut menjerit ketika melihat badannya tergantung dari bahagian luar buaian yang ketika itu berada pada ketinggian yang sangat menakutkan.

Operator berusaha memperlahankan buaian pusing itu dan terpaksa menunggu sehingga gondola kanak-kanak tersebut sampai ke bawah sebelum Liang diselamatkan.

Liang kemudian dibawa ke hospital berdekatan dan mengalami lebam di leher sementara pihak polis menghentikan operasi permainan itu atas ciri-ciri keselamatan.

"Beberapa minit rasa seperti berabad, jantung saya berdegup kencang.

"Saya takut dia tidak dapat bertahan di sudut itu", kata seorang saksi kepada Qianjiang Evening News. -SCMP

buaian pusing, sangkut

Artikel Lain