suria

Tiada kelemahan, bos firma NZ setuju staf kerja 4 hari seminggu

-foto Getty

AMALAN bekerja selama empat hari seminggu akan dikekalkan di sebuah syarikat New Zealand setelah percubaannya sangat berjaya tanpa ada kelemahan.

Produktiviti staf dilaporkan lebih baik, begitu juga keseimbangan kehidupan dan kerja serta tahap tekanan menjadi lebih rendah selepas bekerja selama lapan jam sehari dalam tempoh masa empat hari seminggu selama dua bulan.

Percubaan di Perpetual Guardian, firma perkhidmatan kewangan itu melibatkan hampir 250 pekerja di 16 pejabat.

Mereka bekerja selama empat hari, bersamaan dengan 32 jam semingu, bukannya 40 jam sepanjang lima hari bekerja tetapi masih dibayar seperti bekerja selama lima hari seminggu.

Pengasas syarikat yang berpangkalan di Auckland ini, Andrew Barnes berkata tidak ada kelemahan terhadap sistem baharu itu dan staf dilaporkan mendapat manfaat dari tambahan lebihan masa.

Para penyelidik dari Auckland University of Technology mengkaji kesannya dan mendapati pekerja datang tepat pada waktu, tidak balik awal, rekod kehadiran lebih baik dan kakitangan tidak mengambil rehat yang panjang.

Prestasi kerja sebenar mereka tidak berubah, kata penyelidik pada masa itu.

Kakitangan kini akan diberi pilihan sama ada mahu atau tidak memilih skim baharu ini, dengan mereka yang memilih untuk terus bekerja lima hari seminggu diberikan faedah lain seperti waktu kerja yang lebih pendek.

"Bagi kami, ini cara syarikat mahu meningkatkan produktiviti dari kecekapan di tempat kerja yang lebih baik...tidak ada kelemahan untuk kami," kata Barnes.

"Sikap yang betul adalah keperluan untuk menjadikan ia berjaya, semua orang harus komited dan serius untuk mewujudkan model jangka panjang yang berdaya maju untuk perniagaan kami."

Profesor sumber manusia di Auckland University, Jarrod Haar berkata kakitangan, semasa tempoh percubaan dilaporkan kembali dengan lebih cergas selepas beberapa hari bercuti.

Mereka berkata perubahan itu mendorong mereka untuk mencari cara meningkatkan produktiviti semasa di pejabat, termasuk memendekkan mesyuarat kepada 30 minit pada satu masa dan memberi isyarat kepada rakan sekerja yang membuang masa.

"Mereka berusaha untuk tidak membuang masa dan bekerja lebih bijak, bukan lebih kuat," kata Haar.

Barnes berkata percubaan itu mempunyai potensi implikasi untuk segala-galanya daripada keseimbangan kerja/kehidupan kepada jurang gaji jantina dan kesejahteraan mental pekerja.

Beliau berkata ini boleh memberi motivasi kepada pekerja untuk menunjukkan hasil kerja yang lebih baik dalam tempoh masa yang lebih singkat.

The Academics yang mengkaji sikap kakitangan Barnes pada November tahun lepas berkata lebih separuh daripada kakitangannya merasakan mereka dapat mengimbangi antara kerja dan komitmen rumah.

Barnes berkata beliau mendapat idea untuk kerja selama empat hari selepas membaca laporan yang mencadangkan manusia menghabiskan masa kurang dari tiga jam pada hari kerja mereka akan menjadi produktif.

Dia mempertimbangkan untuk menjadikan langkah itu sebagai amalan tetap dan percaya ia akan memberi manfaat terutama kepada golongan ibu, kerana mereka yang kembali bekerja selepas cuti bersalin sering kali berunding tentang waktu kerja. -MetroUK

waktu kerja, seminggu

Artikel Lain