MANILA: Presiden Rodrigo Duterte mendedahkan beliau kini sedang menunggu keputusan ujian perubatan. "Jika ia kanser, jadi ia adalah kanser," katanya. Spekulasi tentang tahap kesihatan Duterte, 73, yang merupakan pemimpin paling tua dilantik di negara itu sering mula diperkatakan sejak beliau mengambil alih kuasa pada 2016. Lewat Khamis malam, menerusi ucapannya, presiden yang terkenal atas kelantangannya itu memaklumkan dia menjalani rawatan endoskopi dan kolonoskopi kira-kira tiga minggu lalu serta dinasihatkan untuk mengulangi ujian itu pada minggu ini. "Saya tidak tahu bagaimana keadaan fizikal saya sekarang. Tetapi, saya akan maklumkan jika ia adalah barah. Jika sudah berada di tahap tiga, tiada lagi rawatan, saya tidak akan memanjangkan penderitaan ini di pejabat atau di mana sahaja," ujarnya. Spekulasi mula tersebar di media Filipina selepas Duterte dilaporkan tidak menghadiri mesyuarat Kabinet dan acara lain. Kerajaan bagaimanapun menafikan pemimpin terbabit mengalami masalah kesihatan dan jurucakapnya, Harry Roque berkata, beliau hanya 'mengambil cuti'. Sebelum ini, Duterte memberitahu dia menderita migrain dan penyakit Buerger yang menjejaskan urat dan arteri tubuh badan yang biasanya disebabkan tabiat merokok. - AFP