PENDUDUK di sebuah penempatan kecil kini lebih berhati-hati dengan kehadiran burung yang dikatakan mabuk akibat memakan buah beri hingga mengakibatkan haiwan itu merempuh kereta dan tingkap. Jabatan Polis Gilbert di Minnesota menggesa penduduk kawasan itu supaya berwaspada jika berdepan insiden sedemikian. Memuat naik perkara itu menerusi media sosial Facebook, seorang penduduk berkata: "Mulanya saya berhasrat untuk menyatakan sesuatu mengenai perkara ini, tetapi apabila memikirkannya semula saya rasa ia sesuatu yang gila!!! "Saya telah mengalaminya. "Mungkin ia satu jenaka, tetapi dua burung telah merempuh tingkap kereta ketika saya sedang memandu pulang ke rumah dan ke tempat kerja. "Kejadian itu sungguh membinggungkan saya." katanya. Seorang lagi penduduk berkata:"Kini segalanya jelas, baru saya tahu kenapa kereta saya merempuh tujuh burung minggu ini." Selain itu, ada penduduk yang mendakwa menemui bangkai tiga burung, manakala ada yang terpaksa menekan brek dengan pantas apabila ada burung yang terbang ke arah cermin keretanya. Ketua Polis Gilbert, Ty Techar menjelaskan, burung berkenaan telah memakan buah beri yang ranum. Buah beri berkenaan dipenuhi etanol yang menjadi punca burung yang memakannya hilang kawalan ketika terbang, umpama mabuk.-Metro.uk