SEORANG lelaki muda warga British maut selepas digigit ular laut ketika sedang bertugas di sebuah bot pukat tunda di pantai utara Australia. Pemuda berusia 23 tahun itu dipatuk ular berkenaan ketika sedang menarik pukat pada tengah hari Khamis. Ketika itu bot berkenaan berada kira-kira 70 batu nautika di selatan Groote Eylandt, sebuah pulau di Teluk Carpentaria, kata polis di wilayah itu. Sebelum ini, kematian akibat dipatuk ular laut jarang berlaku walaupun racunnya berbahaya. Pengurus operasi St John Ambulans, Craig Garraway memberitahu media tempatan, Northern Territory News pasukan perubatan ke lokasi kejadian, tetapi malangnya ketika dalam perjalanan mangsa telah meninggal dunia. Bot itu akhirnya berlabuh di perkampungan Borroloola di mana lelaki yang dilaporkan seorang pengembara itu telah diisytiharkan mati. Polis berkata kedutaan Britain telah diberitahu mengenai kematiannya dan bedah siasat terhadap mayatnya akan dijalankan. Sebanyak 30 daripada 70 spesies reptilia laut terdapat di Australia. Ular laut merupakan spesies ular yang berbisa tetapi dianggap tidak agresif dan jarang menyerang melainkan diancam. - The Guardian