suria

Budak perempuan lapan tahun tarik keluar pedang 1,500 tahun dari tasik

SEORANG budak perempuan lapan tahun menarik keluar pedang berusia 1,500 tahun dari sebuah tasik di selatan Sweden.

"Saya rasa sesuatu dengan tangan saya dan pada mulanya saya ingat itu kayu.

"Kemudian, saya lihat ia ada pemegang macam pedang, dan saya tarik keluar. Kemudian menjerit: 'Ayah, saya jumpa pedang!'," kata Saga Nevecek kepada akhbar tempatan Värnamo Nyheter.

Penemuan yang berlaku pada Julai lalu itu hanya diumumkan pada minggu ini kerana khuatir ia akan mengundang ramai pengunjung ke Tasik Vidöstern tersebut.

Biarpun terdapat spekulasi bertebaran di media sosial, masih belum ada kepastian sama ada Saga akan dimahkotakan sebagai 'Permaisuri Sweden' berdasarkan kisah legenda Arthur tentang pedang berkenaan.

Nordström dan Saga menunjukkan gambar pedang kuno yang ditemui oleh budak perempuan itu. - Foto: SVT

Bapa Saga, Andrew berkata di Facebook bahawa pedang tersebut berasal dari abad kelima atau keenam setelah dinilai oleh pakar muzium Jönköping, ia mungkin wujud sebelum era Viking.

Annie Rosen dari muzium itu berkata: "Saya bercuti ketika itu, tapi lepas saya nampak gambar tersebut, saya terus datang.

"Anda tidak boleh bayangkan pedang sebegitu masih berada dalam keadaan baik."

Seorang lagi pakar di muzium tersebut, Mikael Nordström memberitahu portal berita tempatan, pedang sepanjang 0.85 meter itu dalam jagaan pakar pemuliharaan dan tidak akan dipamerkan kepada orang awam sekurang-kurangnya sehingga tahun depan. - The Guardian

pedang

Artikel Berikut

Artikel Lain