suria

Isteri sempat tulis 'I love U' kepada suami sebelum temui ajal

POSTING terakhir pasangan pengantin baharu di Facebooknya memuji kebaikan suaminya tiga hari sebelum mereka maut dalam satu kemalangan sebuah limousin ternyata menyentuh hati netizen.

Amy dan Alex Steenburg antara 20 yang maut dalam kemalangan di Schoharie, New York apabila limousin yang mereka naiki hilang kawalan dan merempuh dua orang awam.

Kesemua 18 penumpang di dalam limousin itu maut, tragedi paling buruk pernah berlaku di Amerika Syarikat (AS).

Antara yang terkorban termasuk tiga adik-beradik Amy yang dikenali sebagai Abigail Jakson, Mary Dyson, Allison King bersama suami masing-masing yang turut berada dalam kenderaan yang disewa mereka untuk sambutan hari lahirnya yang ke-30.

Dalam posting terakhirnya, Amy memuji suaminya, Axel yang dikahwininya pada Jun lalu.

"Saya hanya ingin katakan Axel Steenburg 'I love u', melebihi segalanya.

Amy dan Axel Steenburg.

"Anda seorang yang luar biasa dan menghiburkan semua idea gila saya.

"Terima kasih kerana menjadi seorang yang baik dan penyayang," katanya.

Saksi Linda Riley berkata bunyi kemalangan itu seperti letupan besar kerana limousin tersebut hilang kawalan sebelum merempuh tempat parkir kosong kira-kira pukul 2 petang waktu tempatan, Sabtu lalu di Schoharie, New York.

Menurut laporan, limousin itu dipandu pada kelajuan 60km sejam ketika kejadian yang turut menyebabkan dua orang awam terkorban.

Proses pengecaman kesemua mayat adik-beradik itu dilakukan ibu saudara mereka, Barbara Douglas.

"Seorang baharu sahaja berkahwin dan suaminya berniat mahu melakukan kejutan sambutan hari lahirnya.

"Salah seorang dari mereka mempunyai dua anak. Seorang lagi ada seorang anak. Saya ada empat anak buah dan kini keempat-empat mereka sudah tiada," katanya.

Antara mangsa yang maut dalam kemalangan ngeri itu.

Kesemua mereka sebenarnya telah menyewa sebuah bas khas untuk pergi ke majlis hari lahir Amy tetapi bas tersebut tiba-tiba rosak.

Susulan itu mereka menyewa limousin berkenaan.

Menurut Washington Post, salah seorang mangsa menghantar pesanan mesej kepada kakaknya memaklumkan limousin tersebut berada dalam keadaaan yang teruk, 20 minit sebelum tragedi hitam itu.

Menurut ibu saudaranya, Erin McGowan menghantar mesej berbunyi:"Keadaan kenderaan ini amat teruk."

Erin, 34, dan Shane McGowan, 30, yang berkahwin pada Jun lalu turut maut dalam insiden itu.

Facebook, kemalangan, limousin

Artikel Lain