SEORANG lelaki dari Essex, United Kingdom, bertindak menyenaraikan teman wanitanya untuk dijual di eBay dan terkejut apabila harganya meningkat kepada lebih £70,200 (RM381,028) dalam tempoh 24 jam, menurut laporan pada Sabtu. Dale Leeks dari Colchester, Essex mahu mengusik kekasihnya, Kelly Greaves, 37, dengan mengiklankan dirinya di laman bidaan popular itu Pemuda berusia 34 tahun itu membandingkan Greaves dengan sebuah kereta terpakai dan memberi amaran kepada bakal pembeli bahawa apa yang dijualnya itu 'mula-mula ok tetapi selepas beberapa ketika, terdapat bunyi bising berterusan yang saya tak nampak ia akan berhenti' lapor The Sun. "'Badan' agak kemas, tetapi dari dekat menunjukkan tanda-tanda pernah diguna (saya hanya bersikap jujur)," kata Dale dalam keterangan mengenai teman wanitanya. "Tiada kerosakan serius tetapi anda boleh tahu bahawa dia telah digunakan. "Perkara pertama, pada waktu pagi anginnya mungkin sangat tak baik, selepas 'dipanaskan' bunyi bising semakin berkurangan tetapi saya berbohong jika kata ia akan hilang sepenuhnya," tulisnya. "Mana-mana tawaran akan dipertimbangkan...akan berminat jika ada pertukaran dengan model yang lebih muda." Walaupun keseluruhannya hanyalah bahan jenaka, iklan itu mendapat perhatian di laman web itu dan dilihat lebih dari 81,000 kali dalam masa 24 jam dengan lebih 100 tawaran, Daily Mail melaporkan, sambil menambah tawaran tertinggi mencecah £70,200. Selepas 24 jam, eBay mengeluarkan iklan itu dari penyenaraiannya dan memaklumkan kepada Leeks bahawa posting itu telah dikeluarkan kerana menjual 'bahagian tubuh manusia' di laman web itu adalah dilarang. "Selepas saya meletakkannya di eBay, saya hanya ketawa dan dia bertanya apa yang saya gelakkan," kata Leeks yang memiliki syarikat landskap. "Saya beritahu dia saya menjual dirinya di eBay. Pada mulanya, dia fikir tiada siapa yang akan melihatnya dan menganggapnya tidak penting. "Tetapi ketika kami keluar makan malam pada petang itu saya dihujani dengan mesej dari seluruh Eropah dan tempat sejauh Amerika dan Australia," katanya. "Saya terus memandangnya tetapi saya tidak benar-benar beritahu apa yang berlaku kepadanya. "Beberapa tawaran awal dan mesej di eBay adalah dari rakan-rakan saya. Tetapi selepas itu ia sudah tidak dapat dikawal. Mereka yang buat penawaran mula marah. Saya seperti wow, apa yang saya dah buat?" Leeks telah dihujani pelbagai mesej termasuk yang menyakitkan hati. Ada yang bertanya tentang pemilik terdahulu dan berkata: "Saya cukup berminat untuk membuat tawaran. Bolehkah anda beritahu saya berapa ramai pemilik yang pernah memilikinya sebelum ini? Juga, apakah sejarah perkhidmatannya?." Seorang lagi bertanya apakah mereka boleh 'datang dan membuat pandu uji." Disebabkan iklan itu telah dipadam oleh eBay, teman wanitanya hanya mampu ketawa. "Saya tak tahu betapa tinggi ia mampu cecah jika tidak diturunkan. Saya berharap ia mungkin berjuta-juta," kata Leeks. "Kelly berpaling dan tanya saya 'jadi berapa sebenarnya harga kamu letak untuk jual saya? Adakah kamu akan kecewa jika benar-benar ada yang membeli saya?'," kata Leeks. "Saya berkata saya akan kecewa tetapi saya akan menangis jika ia adalah Lamborghini atau Ferrari."