suria

Wartawan cuba bongkar kes rasuah diperkosa dan dibunuh kejam

Viktoria Marinova sewaktu muncul di kaca televisyen suatu ketika dahulu. FOTO: AP

SUSPEK yang dikaitkan dengan kes rogol dan bunuh seorang wartawan warga Bulgaria akhirnya ditahan oleh Polis Jerman.

Pemuda berusia 21 tahun itu dikatakan mempunyai kaitan dengan pembunuhan kejam Viktoria Marinova, 30, yang sedang membuat siasatan berita sewaktu diperlakukan sedemikian.

Lelaki itu yang mempunyai rekod jenayah lampau ditahan pihak berkuasa yang menemui bukti kehadirannya di lokasi kejadian.

Seorang lagi suspek turut ditahan pada Selasa. Dia bagaimanapun sudah dibebaskan.

Menurut pendakwa raya, mangsa dikatakan diperkosa sebelum dibunuh.

Kes menjadi lebih rumit dan mendapat perhatian ramai apabila timbul desas-desus kononnya mangsa dibunuh kerana melakukan siasatan dan cuba untuk melaporkan beberapa kes rasuah di negaranya.

Awal minggu ini, beberapa pemimpin negara Eropah mendakwa wartawan itu dibunuh kerana membongkarkan aktiviti rasuah di negara tersebut.

"Sekali lagi wartawan yang berani menulis benda yang nyata, berani menentang rasuah diragut nyawanya," tulis timbalan presiden Kesatuan Eropah, Frans Timmermans.

Pembunuhan kejam itu turut mendapat perhatian perdana menteri Bulgaria, Boyko Borissov.

"Saya dah baca macam-macam mengenai Bulgaria dan semuanya tidak benar," ujarnya seolah-olah menafikan spekulasi mengenai gejala rasuah yang cuba dibongkarkan oleh wartawan tersebut.

Morinova merupakan wartawan ketiga yang dibunuh di negara Eropah tahun ini.

Siasatan lanjut kini sedang dijalankan bagi merungkai motif sebenar di sebalik pembunuhan kejam itu.-NPR.Org.

 

Kesatuan Eropah, Bunuh, Rogol, Wartawan

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan