BERJAYA keluar dari dalam gua dan kini 'terbang' ke studio di Los Angeles. Masyarakat di seluruh dunia pada awal tahun ini menyaksikan di televisyen bagaimana 12 pemain dan jurulatih bola sepak mereka terperangkap dan kemudian diselamatkan dari sebuah gua yang banjir di Thailand. Kini 'Wild Boars' sekali lagi akan muncul di televisyen, tetapi dalam suasana yang berbeza apabila dijemput sebagai tetamu program TV terkenal, Ellen DeGeneres Show. Hos program itu sendiri membuat posting di Twitter pada Jumaat mengumumkan bahawa pasukan itu akan muncul di televisyen pada Isnin. Dalam tweetnya, DeGeneres berkata: "Tidak ada cerita yang lebih menarik musim panas ini selain pasukan bola sepak Thailand terperangkap di dalam sebuah gua." Bersama tweet itu dia turut menyiarkan gambarnya bersama kesemua 13 kanak-kanak dari pasukan tersebut yang kelihatan teruja di depan kamera, di studio di California. Turut bersama mereka adalah bintang bola sepak Sweden Zlatan Ibrahimovic, yang juga bekas pemain Manchester United dan kini bersama LA Galaxy. Jemputan ini mungkin menjadi penampilan antarabangsa paling berpengaruh bagi kumpulan ini sejak usaha menyelamatkan mereka selama tiga hari dijalankan oleh penyelamat dengan penuh risiko pada awal Julai lalu. Mereka terperangkap di gua Tham Luang, Chiang Rai, selama lebih dari dua minggu. Pihak berkuasa sebelum ini meminta agar mereka dihormati selepas mengalami kesulitan dan kerajaan Thai menubuhkan satu jawatankuasa untuk memantau projek dan mengawal akses media terhadap mereka. Tetapi pasukan itu seolah-olah perlahan-lahan dapat menerima publisiti. Satu program interaktif oleh Kementerian Kebudayaan Thailand mengenai misi menyelamat dijalankan di Bangkok pada Ogos. Ahad lepas, mereka bermain dalam perlawanan persahabatan dengan skuad remaja gergasi Argentina, River Plate, selepas menghadiri majlis pembukaan Olimpik Remaja di Buenos Aires sehari sebelum itu. - The Straits Times/Asia News Network/Star